Zahid yakin akar umbi Umno sokong kekal dalam kerajaan hingga PRU16

Zahid yakin akar umbi Umno sokong kekal dalam kerajaan hingga PRU16

Presiden Zahid Hamidi kata pendirian kekal dalam kerajaan dibawa ke perhimpunan agung Umno sebelum ini.

zahid hamidi
Presiden Zahid Hamidi kata beliau tidak meragui sokongan akar umbi Umno kepada keputusan kekal dalam kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Presiden Zahid Hamidi yakin akar umbi Umno menyokong keputusan pucuk pimpinan supaya parti kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga PRU16.

Menjelang perhimpunan agung Umno esok, Zahid memberitahu pemberita bahawa beliau berpegang pada pendirian yang dibawa ke persidangan sama beberapa tahun lalu.

Zahid juga berkata beliau tidak meragui sokongan akar umbi kepada keputusan parti, di sebalik dakwaan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh, awal bulan ini, bahawa terdapat desakan keluar kerajaan daripada akar umbi.

“Ini bukan soal pendirian saya. Ini pendirian parti yang saya bawa bukan sahaja ke mesyuarat biro politik malah mesyuarat majlis kerja tertinggi dan perhimpunan agung tiga tahun lalu,” katanya kepada pemberita di World Trade Centre Kuala Lumpur.

“Saya berpegang teguh pada pendirian itu. Kerajaan perpaduan harus diperkukuhkan dengan sokongan bukan sahaja ahli parti malah Ahli Parlimen sendiri.”

Dalam pada itu, berkaitan kemungkinan Umno bertanding solo pada PRU16, Zahid berkata kerjasama bagi membentuk kerajaan akan bergantung pada bilangan kerusi yang dimenangi Umno.

“Penubuhan kerajaan seterusnya adalah berdasarkan berapa jumlah kerusi diperoleh — berapa kuat atau lemah sokongan diberikan kepada calon Umno,” katanya, yang menambah Umno menyasarkan untuk bertanding di lebih daripada 30 kerusi.

“Bukan sahaja 30 kerusi yang telah kami menangi, tetapi juga kerusi lain yang kami anggap sebagai kerusi ‘tier’ dua iaitu kerusi yang kami kalah tetapi berjaya memperoleh undi kedua tertinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.