
Ketua Bersatu Lembah Pantai Muqharabbin Mokhterruddin berkata, Bersatu sepatutnya bekerjasama dengan parti yang memiliki wakil rakyat di DUN dan Parlimen sahaja untuk pilihan raya akan datang.
“Gerakan menghidupkan IPR, sebenarnya akan menyulitkan lagi keadaan di mana setiap parti-parti yang bersama dengan PN akan dan sudah pun menuntut kerusi masing-masing.
“Sewajarnya carilah dan bekerjasamalah dengan parti-parti yang ada kerusi di Dun dan Parlimen sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
IPR yang diketuai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menghimpunkan pemimpin Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Putra, Berjasa, Muda, Parti Kemajuan Malaysia, Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan, Parti Rakyat India Malaysia dan Urimai.
Bulan lalu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat IPR, ketika perselisihan dengan PAS mengenai jawatan pengerusi PN masih berterusan.
Muhyiddin disertai pemimpin komponen PN lain tetapi pemimpin PAS tidak kelihatan walaupun parti itu sebahagian daripada IPR.
PN kini berdepan kemelut susulan perletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi berkuatkuasa 1 Jan lalu dan pada masa yang sama Bersatu juga dilanda krisis kepimpinan.
Sementara itu, Muqharabbin berkata Bersatu tidak boleh membiarkan PAS menarik dari daripada PN kerana ia boleh beri kesan besar pada PRU16 nanti dan cita-cita Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri kembali.
“Andai PAS menarik diri PN kerana perpecahan dalaman Bersatu, jangan mimpi Bersatu menang PRU 16.
“Bersatu perlu sedar, sekiranya PN menang 80 kerusi sekalipun, presiden perlu mendapat sokongan parti-parti lain untuk menyokong beliau jadi perdana menteri,” katanya.