
Dalam perbahasan dan ucapan, perwakilan berulang kali kembali kepada topik DAP, walaupun pemimpin kanan berusaha meredakan kebimbangan dan memfokuskan semula mesej parti kepada perpaduan Melayu, bukan permusuhan.
Pengumuman Akmal yang beliau akan meletak jawatan sebagai exco Melaka untuk fokus pada usaha menentang DAP menggamatkan dewan dan mengukuhkan lagi sentimen anti-DAP yang membara dalam kalangan ahli akar umbi.
Seorang pemimpin Umno yang enggan namanya disiarkan, menyifatkan peletakan jawatan Akmal sebagai langkah ‘sangat taktikal’.
“(Langkah itu) akan beri beliau kebebasan untuk serang sesiapa sahaja, terutama DAP,” kata pemimpin itu memaklumkan perwakilan ‘sangat berminat’ dengan usaha lebih luas untuk mengukuhkan sokongan Melayu bawah panji Umno.
Bagaimanapun, pemimpin sama mengakui realiti bahawa suara perwakilan orang Melayu bukan lagi hak mutlak Umno.
“Presiden Zahid Hamidi cuba bakar semangat ahli dengan mesej ‘rumah besar’. Selama ini memang kita kata Umno wakili majoriti orang Melayu, namun kita dah hilang keabsahan tersebut kepada Bersatu dan PAS. Orang Melayu kini ada pilihan selain Umno,” kata pemimpin itu.
Dalam ucapannya semalam, Zahid menolak idea ‘payung besar’ yang lebih luas untuk parti Melayu, sebaliknya mendesak konsep Umno sebagai ‘Rumah Bangsa’, wadah utama bagi orang Melayu secara keseluruhan.
Beliau berkata, Umno boleh bertindak sebagai platform untuk menyatukan masyarakat dan membantu mereka menghadapi cabaran semasa, termasuk yang bersifat politik.
Reda kebimbangan mengenai DAP
Respons segelintir pemimpin kanan parti bagaimanapun terkawal, seperti Naib Presiden Johari Ghani yang menepis tanggapan parti itu seteru utama Umno.
“Kenapa perlu takut dengan DAP? Tiada sebab kita perlu takut dengan DAP,” katanya.
“Kalau kita tak pernah takut dengan Gerakan, tak pernah takut dengan MCA, tak pernah takut dengan mana-mana parti bukan berasaskan Melayu, kenapa perlu takut dengan DAP?”
Johari menegaskan, Umno sepatutnya lebih bimbang gagal menyatukan orang Melayu, bukan kebangkitan mana-mana parti tertentu.
Katanya, gagasan ‘Rumah Bangsa’ diilhamkan Zahid boleh dikembangkan lagi, namun sebarang penyertaan tidak seharusnya bersifat paksaan.
“Kalau PAS tak mahu, sudahlah, kita tak boleh paksa,” katanya, mengimbau kegagalan Muafakat Nasional biarpun pelbagai usaha memupuk perpaduan Melayu digerakkan sebelum ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden Mohamad Hasan mendakwa wujud pihak tertentu yang sengaja melakukan provokasi supaya Umno keluar daripada kerajaan perpaduan, sambil menegaskan parti tidak wajar tunduk kepada gertakan.
“Kekecewaan mereka (terhadap Umno) lebih parah apabila mereka hilang segala-galanya di Sabah,” katanya dalam kenyataan dilihat ramai sebagai sindiran tajam terhadap DAP, yang gagal meraih sebarang kerusi pada PRN Sabah baru-baru ini.
“Apabila Melayu Bersatu, kita (malah) berjaya singkirkan (penjajah) British. Saya tak gentar dengan DAP dan saya tak mahu ahli Umno juga gentar dengan DAP. Kita mahu agenda Melayu diteruskan,” katanya.
Pemimpin parti turut dilihat cuba mencerminkan kestabilan dalam kerajaan perpaduan. Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Umno belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi PRU akan datang, sebaliknya menegaskan fokus utama parti kini adalah memperkukuh kerajaan sedia ada serta melunaskan tanggungjawab kepada rakyat.
Walaupun barisan kepimpinan cuba meredakan ketegangan, PAU kali ini jelas memperlihatkan betapa tebalnya sentimen anti-DAP yang berakar umbi dalam Umno.
Realiti ini menuntut kebijaksanaan kepimpinan Umno untuk mengimbangi sentimen itu dengan agenda penyatuan, pendekatan pragmatik dan tuntutan kelangsungan politik mereka.