Mahu lepas ‘gian’ aiskrim gula apong, kini Mokti jadi jutawan

Mahu lepas ‘gian’ aiskrim gula apong, kini Mokti jadi jutawan

Perniagaan yang diasaskan Siti Fatimah Adnan itu kini mempunyai 94 cawangan, termasuk sebuah di Turki, dan mencatat rekod jualan RM11 juta tahun lepas.

Rekod jualan aiskrim gula apong Mokti mencecah RM11 juta tahun lepas.
PETALING JAYA:
Siapa sangka bermula dengan hanya rasa mengidam aiskrim gula apong, tercetus idea bagi seorang wanita untuk menghasilkannya sendiri dan kini menjana pendapatan jutaan ringgit.

Siti Fatimah Adnan, 32, membuka perniagaan manisan itu bawah jenama Mokti – nama panggilannya – dan hanya dalam tempoh dua tahun, berjaya membuka 94 buah cawangan, termasuk di Turki. Tahun lepas, rekod jualannya mencecah RM11 juta.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Pengurusan Perladangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memulakan perniagaan sekitar 2019, iaitu setahun sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), yang menyaksikan banyak perusahaan gulung tikar.

“Niat awal buat aiskrim (gula apong) untuk melunaskan (keinginan) saya nak makan, tiada pun perancangan hendak jadi usahawan,” katanya kepada FMT.

Keinginannya untuk melepaskan “gian” makan aiskrim gula apong yang dikenalinya ketika menetap di Bintulu, Sarawak, mendorong Siti Fatimah mendaftar dalam kelas pembuatan manisan itu dan membeli mesin manual.

Pengasas aiskrim gula apong jenama Mokti, Siti Fatimah Adnan dan suaminya, Pengiran Muhammad Adil Awang Iskaderzulkarnain.

Gula apong ialah gula asli diperbuat daripada air nira pokok nipah yang tumbuh subur sepanjang sungai di kepulauan Borneo itu.

“Mulanya banyak aiskrim tak jadi dan saya terpaksa buang sampai dapat satu resepi sedap,” ceritanya, mengimbau saat beliau memulakan proses pembuatan aiskrim dan kini berjaya menghasilkan 30 perisa.

Bermula dengan jualan but kereta, jenama Mokti berkembang dengan pembukaan cawangan pertama di premis berkeluasan 10 x 12 kaki persegi, bersebelahan sebuah kedai serbaneka di Jejawi, Perlis.

“Starategi ketika itu, sasar orang yang keluar daripada kedai itu datang beli aiskrim kita, serendah RM2 sahaja.

“Sekarang syukur kami memiliki enam buah kilang bertaraf GMP (lesen amalan pengilangan baik) di Perlis,” katanya.

Setakat ini, Mokti sudah mengeluarkan sekurang-kurangnya 30 perisa aiskrim ciptaan pengasasnya, merangkumi ‘soft ice cream’, aiskrim tub, aiskrim batang (popsicle) dan aiskrim gelato (artisanal).

Setakat ini, Mokti sudah mengeluarkan sekurang-kurangnya 30 daripada 100 perisa ciptaan Siti Fatimah merangkumi “soft ice cream”, aiskrim tub, aiskrim batang (popsicle) dan aiskrim gelato (artisanal).

Menurut suami Siti Fatimah, Pengiran Muhammad Adil Awang Iskaderzulkarnain, 34, setakat ini Mokti adalah satu-satunya kilang menggunakan “artisanal gelato” dan bukannya “artisanal industrial”, iaitu tanpa bahan pengawet dan banyak perasa.

“Contoh aiskrim perisa Snickers, kita mulakan dengan buat dari awal sehingga menjadi aiskrim … bukan letak begitu sahaja,” katanya yang berkorban kerjaya dalam dunia gas dan minyak untuk membantu perniagaan isterinya.

Selepas berjaya membuka 94 cawangan dan mewujudkan ratusan pekerjaan, Pengiran Muhammad berkata, mereka kini sedang mempersiapkan jenama itu untuk perniagaan berkonsepkan francais.

“Kami yakin dengan potensinya kerana aiskrim gula apong kami ada peminatnya sendiri, termasuk Raja Muda Perlis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.