
Pada hari semua acara pingat berakhir semalam, pencapaian negara pada edisi ke-32 temasya sukan itu lebih mengecewakan, malah lebih buruk berbanding di Hanoi, Vietnam, tahun lepas.
Selepas temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirai malam ini, kontinjen negara akan pulang dengan detik hitam di pentas Sukan SEA apabila hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa untuk menghuni tangga ketujuh keseluruhan.
Di Hanoi tahun lepas, Malaysia mengakhiri cabaran pada kedudukan keenam keseluruhan dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.
Lebih mengecewakan apabila kedudukan kontinjen negara, yang dianggotai 676 atlet, berada bawah Singapura, Filipina dan Kemboja.
Pada saingan semalam, Malaysia berjaya menambah empat pingat emas menerusi atlet sukan tari, Sam Jee Lek; pasukan hoki lelaki dan wanita; serta atlet kickboxing Ahmad Nor Iman Hakim Rakib.
Selepas tamat saingan hari ke-11, Vietnam muncul juara keseluruhan apabila mengutip keseluruhan 136 emas, 105 perak dan 114 gangsa, diikuti Thailand (108-95-108) manakala Indonesia di tempat ketiga (85-81-109)
Tuan rumah, Kemboja, berada pada kedudukan keempat dengan mengutip keseluruhan 81-74-126 manakala Filipina di tempat kelima (58-86-116), sementara Singapura keenam (51-42-64).