Selepas puluhan tahun, olahragawan, olahragawati kebangsaan terima RM5,000

Selepas puluhan tahun, olahragawan, olahragawati kebangsaan terima RM5,000

Lapan pemenang dari 1966–1982 dimaklumkan bahawa wang kemenangan yang sudah lama dijanjikan kepada mereka akan dibayar tak lama lagi.

Legenda sukan jalan kaki Khoo Chong Beng (tengah) bersama isterinya Yeoh Gin Keow (dua kanan) ketika menerima kunjungan pegawai Malaysia Athletics bagi memaklumkan mengenai bayaran hadiah kepada beliau. (Gambar Malaysia Athletics)
KUALA LUMPUR:
Malaysia Athletics (MA) sedang mengambil langkah untuk menyelesaikan salah satu ketidakadilan paling lama berlarutan dalam sejarah sukan Malaysia.

Lapan bekas juara olahraga yang dinobatkan sebagai olahragawan atau olahragawati kebangsaan antara 1966 hingga 1982 telah dimaklumkan bahawa mereka akan menerima hadiah RM5,000 yang telah lama dijanjikan kepada mereka.

Pemenang kesembilan, atlet lompat tinggi Gladys Chai yang kini menetap di luar negara, juga akan menerima bayaran tersebut sebaik sahaja beliau berjaya dihubungi.

Keputusan itu dibuat ketika beberapa persekutuan sukan lain telah pun menyelesaikan bayaran tertunggak mereka.

Sukan berbasikal, hoki dan badminton hanya membayar seorang bekas pemenang masing-masing, manakala bola sepak, renang, bola keranjang dan tenis masih belum mengambil sebarang tindakan.

Antara 1966 dan 1982, olahraga mendominasi anugerah sukan tertinggi negara. Atlet balapan dan padang memenangi 13 gelaran olahragawan atau olahragawati kebangsaan, dengan empat atlet menerima anugerah itu sebanyak dua kali.

Tetapi, tiada seorang pun menerima hadiah wang tunai RM5,000 pada waktu itu.

Bagi kebanyakan mereka, wang tersebut bukan isu utama. Penangguhan yang terlalu lama menyebabkan mereka rasa tidak dipedulikan walaupun pernah membawa bendera negara di pentas antarabangsa.

Dr Mani Jegathesan, lelaki terpantas Asia, merupakan olahragawan kebangsaan pertama Malaysia pada 1966. Atlet Olimpik M Rajamani pula menjadi olahragawati kebangsaan sulung pada tahun sama dan mempertahankan gelaran itu pada 1967.

Mereka diikuti oleh ratu pecut Junaidah Aman (1971, 1972), atlet lompat tinggi Gladys Chai (1973), atlet jalan kaki Khoo Chong Beng (1975), Marina Chin (1976, 1977), V Subramaniam (1978), pelari pecut Rabuan Pit (1980, 1982), dan atlet serba boleh Zaiton Othman (1982).

Eight former sportsman and sportswoman of the year from 1966–1982
Bekas juara pelari pecut negara Rabuan Pit (tengah) bersama isterinya (dua kiri) ketika menerima kunjungan pegawai Malaysia Athletics di kediaman mereka. (Gambar Malaysia Athletics)

Beberapa atlet memberitahu FMT bahawa pegawai ketika itu memaklumkan hadiah wang tunai hanya akan dibayar selepas mereka bersara. Persatuan pula memberi alasan untuk mengekalkan status amatur atau langsung tidak memaklumkan apa-apa kepada pemenang.

Dalam beberapa kes, dana tersebut dilaporkan disalurkan melalui persatuan bagi tujuan pembangunan.

Isu ini kembali mendapat perhatian umum tahun lalu selepas FMT melaporkan bahawa beberapa pemenang merentasi pelbagai sukan tidak pernah menerima hadiah RM5,000 tersebut. Laporan itu mendorong persekutuan berkaitan untuk ambil tindakan.

Legenda hoki M Mahendran akhirnya menerima RM5,000 pada September lalu, lebih 50 tahun selepas dinobatkan sebagai olahragawan kebangsaan.

Eight former sportsman and sportswoman of the year from 1966–1982
Ikon sukan jalan kaki V Subramaniam (dua kiri) ketika kunjungan pegawai Malaysia Athletics yang maklumkan hadiah olahragawan kebangsaan akan dibayar. (Gambar V Subramaniam)

Legenda lumba basikal Ng Joo Ngan menerima baki RM4,500 bagi anugerah 1970 miliknya pada Oktober, selepas sebelum ini hanya menerima RM500. Presiden MNCF Amarjit Singh Gill berkata penyelesaian bayaran itu mencerminkan integriti dan penghormatan terhadap atlet terdahulu.

Legenda badminton Sylvia Ng turut menerima sumbangan khas daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebagai pengiktirafan terhadap legasinya walaupun BAM menyatakan perkara itu berada di luar bidang kuasa rasmi persatuan.

Pegawai Malaysia Athletics baru-baru ini menziarah lapan bekas juara tersebut bagi mengesahkan bahawa bayaran mereka akan dibuat.

Beberapa atlet menyifatkan kunjungan itu sebagai amat bermakna, dengan menyebutnya sebagai ‘penutup’ atau ‘pengiktirafan yang terlalu lama tertangguh’.

“Walaupun jumlah itu kelihatan kecil pada hari ini, pembayaran tersebut mengembalikan satu janji dan menghormati sumbangan atlet pada era yang serba kekurangan”, kata Subramaniam.

Junaidah berkata: “Inisiatif ini menekankan kepentingan menghormati juara terdahulu dan menunaikan janji, walau berapa lama sekalipun tertangguh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.