
Hannah, ketika berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan, disifatkan Awalan membuka ruang ‘evolusi besar’ kepada mentaliti atlet di semua peringkat.

Kejayaan besar kontinjen Malaysia membuktikan hala tuju pembangunan sukan negara berada di landasan tepat, terutamanya dari sudut kebajikan atlet, pembinaan bakat serta pembentukan budaya latihan yang lebih profesional.
“Pencapaian 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa ini bukan sekadar rekod, tetapi lambang kematangan sistem sukan negara.
“Apabila tekanan tidak lagi mengikat atlet, mereka bertanding dengan jiwa yang bebas. Itulah yang kita lihat di Thailand,” katanya dalam kenyataan.
Pada Sukan SEA Thailand 2025, Malaysia membawa pulang keseluruhan 231 pingat, sekali gus memecahkan rekod jumlah pingat tertinggi Sukan SEA di luar Kuala Lumpur.
Temasya Sukan SEA Thailand berlangsung dari 9 hingga 20 Dis melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.
Katanya, dasar sama juga memberi sumbangan kepada kejayaan sukan boling padang di arena antarabangsa, termasuk menjadi juara keseluruhan Piala Dunia baru-baru ini.
Katanya, Malaysia pada satu waktu turut melahirkan pemain nombor satu lelaki dunia dan wanita.
Menurutnya, pencapaian ini membuktikan dasar tersebut menyumbang secara langsung kepada pembangunan boling padang Malaysia dan di pentas antarabangsa. Acara boling padang tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Thailand, namun Awalan menyuarakan keyakinan mampu membutirkan pingat dalam acara itu pada Sukan SEA 2027, yang akan dianjurkan Malaysia.
“Legasi yang ditinggalkan Hannah masih mengalir dalam denyut nadi sukan negara dan jelas terpancar pada pencapaian atlet kita.”