
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Hasanuddin Mohd Yunus, berkata ia selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, melalui cadangan itu, gerak kerja penguatkuasaan akan lebih tersusun, selain tegas dan jelas tanpa mengenepikan hak serta kebebasan individu bukan Islam.
“Kita tak boleh menafikan mungkin ada kelonggaran dalam penguatkuasaan oleh pihak yang diberikan kuasa, jadi melalui cadangan itu nanti, Jemaah Menteri akan beri teguran dan nasihat kepada mereka (pihak berkuasa).
“Kerajaan berada dalam ‘track’ yang betul, untuk membetulkan kekeliruan dan bukti ada kebebasan orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing, tetapi juga ‘amaran’ bahawa mereka (bukan Islam) tak boleh sebarkan agama (mereka) kepada orang yang tak sepatutnya,” katanya menurut Bernama.
Hari ini, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan berhubung penggunaan kalimah “Allah” kepada Majlis Raja-Raja, kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan keputusan peguam negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan mengandungi kalimah “Allah”.
Pada 15 Mei, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.