Rasuah musuh utama kekuatan, kredibiliti angkatan pertahanan negara, titah Agong

Rasuah musuh utama kekuatan, kredibiliti angkatan pertahanan negara, titah Agong

Sultan Ibrahim mahu warga tentera darat berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Panglima Tentera Darat Azhan Md Othman di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hari ini.  (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan rasuah musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara.

“Sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.

“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan…sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah baginda dalam catatan di Facebook.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap Panglima Tentera Darat (PTD), Azhan Md Othman yang baru dilantik 1 Jan lalu, di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Sultan Ibrahim menegaskan kepemimpinan berintegriti bermula dari peringkat tertinggi dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus bersih, telus serta bertanggungjawab.

Justeru, baginda menasihatkan Azhan supaya memastikan warga tentera darat berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Sultan Ibrahim berharap tentera darat terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai angkatan profesional serta bebas amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Semalam, 17 pengarah syarikat direman lima hari kerana disyaki terbabit rangkaian kartel tender perolehan tentera darat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati semua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan tentera darat sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan.

Pada 23 Dis lalu, pegawai SPRM ke Kementerian Pertahanan bagi menyiasat projek dilaksanakan melalui perolehan tender terbuka dan bawah Pusat Tanggungjawab tentera darat.

SPRM kemudian menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan tentera darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek tentera darat pada 29 Dis lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes tu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.