
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata, perkara itu penting untuk dilakukan bagi memastikan kuasa mutlak Agong dan Raja-Raja Melayu kekal jelas serta terpelihara.
“PN berpandangan urusan pengampunan adalah kuasa prerogatif tertinggi Agong dan Raja-Raja Melayu yang wajib dihormati.
“PN tidak mahu Agong dan Raja-Raja Melayu dilihat sebagai ‘rubber stamp’ semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh isu pelaksanaan titah adendum yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah, yang ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Hamzah mempertanggungjawabkan kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim atas kekeliruan undang-undang yang berlaku.
“Ketua hakim negara dalam kes tersebut memutuskan bahawa kuasa pengampunan merupakan kuasa mutlak Agong yang bersifat ‘non-justiciable’ (tidak boleh diadili), sekali gus meletakkannya di luar bidang kuasa semakan kehakiman.
“PN berpandangan bahawa kemelut Perlembagaan dan kekeliruan undang-undang yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan Madani sendiri dalam menangani isu kewujudan titah adendum sejak awal lagi,” katanya.
Sehubungan itu, Hamzah berkata, PN telah melantik peguam pemerhati bagi mengikuti prosiding selanjutnya berhubung isu tersebut, atas dasar prihatin tentang kuasa prerogatif Agong dan Raja-Raja Melayu berhubung pengampunan.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke menolak rayuan Najib untuk menguatkuasakan titah adendum yang membenarkan beliau menjalani hukuman penjara enam tahun, susulan sabitan kes SRC International, sebagai tahanan rumah.
Peguam mewakili Najib, Shafee Abdullah berkata, anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.