Tuntutan palsu Penjana, 3 pengurus, pemilik syarikat direman

Tuntutan palsu Penjana, 3 pengurus, pemilik syarikat direman

Seorang wanita antara tiga individu direman hingga Jumaat ini berhubung tuntutan palsu lebih RM256,296 di bawah Penjana 2.0.

Tiga individu, termasuk seorang wanita dibawa ke kompleks mahkamah Kuala Terengganu untuk permohonan reman hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Tiga individu, termasuk seorang wanita direman empat hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dokumen tuntutan lebih RM256,296 itu dikemukakan kepada Perkeso di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana 2.0).

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Norina Maludin selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Dua suspek berjawatan pengurus, masing-masing seorang lelaki berusia 33 tahun dan wanita berusia 37 tahun, yang menjalankan perkhidmatan sumber kemahiran, manakala seorang lagi suspek lelaki adalah pemilik syarikat komputer berusia 29 tahun.

Sumber dilaporkan berkata, semua suspek ditahan kira-kira 3 petang semalam di Kompleks SPRM Terengganu, ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Syarikat yang menjalankan perkhidmatan sumber kemahiran itu dipercayai mengemukakan tuntutan palsu lebih RM170,000 pada 2020 hingga 2021.

“Syarikat komputer itu pula mengemukakan tuntutan palsu lebih RM85,000 pada 2021 hingga 2022,” kata sumber itu lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.