
Fungsi lima jawatankuasa pengawasan itu akan bercanggah peranan EAIC, kata Walter Sandosam, bekas ahli panel perundingan dan pencegahan Rasuah.
Panel pengawasan lain ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan dan Panel Penilaian Operasi.
Sandosam berkata, jawatankuasa itu perlu dibubarkan kerana ia tidak diperlukan di bawah EIAC.
Fungsi suruhanjaya itu termasuk memantau operasi dan prosedur agensi penguatkuasaan.
Beliau sebaliknya mencadangkan kerajaan mengukuhkan panel pengawasan SPRM, dengan melantik ahli yang “secara umumnya bebas dan boleh berfikir dengan bijak”.
Mereka harus datang daripada pelbagai latar belakang dan badan profesional.
“Jika tidak, tiada gunanya melantik orang hanya untuk melengkapkan jumlahnya,” katanya sambil menambah beberapa ahli panel adalah bekas pegawai kerajaan yang menjadi “pak turut”.
Seorang lagi bekas ahli panel pengawasan, Edmund Terence Gomez, berkata lima badan pengawasan SPRM perlu bebas daripada campur tangan politik, jika mereka mahu bebas sepenuhnya.
“Perdana menteri mempunyai terlalu banyak pengaruh dalam melantik ahli panel dan ketua SPRM. Pada asasnya ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem itu,” kata pakar ekonomi itu kepada FMT.
Beliau berkata, panel lembaga penasihat bebas perlu diberi kuasa untuk memilih ketua SPRM.
Gomez meletak jawatan daripada panel pengawasan pada Disember 2021, selepas ia gagal membincangkan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memiliki sejumlah besar saham korporat.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, cadangan meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa EAIC sudah dibincangkan pegawai.
Bagaimanapun, sebuah gabungan pertubuhan masyarakat sivil berkata, langkah itu akan bercanggah semangat reformasi dan ketelusan kerajaan Anwar Ibrahim.