Dr M ‘liabiliti’, kerajaan perpaduan lebih besar banding Proklamasi Orang Melayu, kata Zahid

Dr M ‘liabiliti’, kerajaan perpaduan lebih besar banding Proklamasi Orang Melayu, kata Zahid

Presiden Umno berkata walaupun soal etnik menjadi isu akar umbi, namun bangsa Malaysia yang besar harus diutamakan.

Zahid Hamidi berkata kerajaan perpaduan mempunyai makna lebih besar untuk negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Zahid Hamidi menyifatkan Dr Mahathir Mohamad sebagai “liabiliti” baharu dalam politik tanah air, menyatakan kerajaan perpaduan mempunyai makna lebih besar berbanding proklamasi digerakkan bekas perdana menteri itu.

Presiden Umno berkata, walaupun soal etnik menjadi isu akar umbi, namun bangsa Malaysia yang besar dan konsep Malaysia Madani didukung ketika ini harus diutamakan.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya atas pertemuan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir. Ucapan ini kerana kita tahu Mahathir adalah liabiliti baharu dalam politik tanah air.

“Ini dijawab dengan kekalahannya di Langkawi dan hilang deposit, malah tiada calon dari partinya yang menang (pada pilihan raya lalu).

“Kalau pertemuan ini (Proklamasi Orang Melayu) kononnya untuk penyatuan dan perpaduan orang Melayu, harus diketahui bahawa walaupun Umno parti orang Melayu dan Bumiputera yang besar, kerajaan perpaduan mempunyai makna yang lebih besar untuk negara kita,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan Hadi dengan Mahathir berhubung Proklamasi Orang Melayu, baru-baru ini.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, politik berkecamuk yang berlaku sepenggal lalu menjejaskan negara.

“Cukuplah sepenggal lalu politik kita berkecamuk dan kita dapat tiga kepemimpinan yang berbeza. Lihatlah apa akibat yang berlaku kepada negara kita.

“Kini, kita sama-sama bentuk (kerajaan perpaduan) bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan 19 parti dalam empat gabungan utama, jadi ini yang menjadi keutamaan,” katanya.

Katanya, beliau juga menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam, yang menyuarakan kebimbangan berhubung isu kestabilan kerajaan.

“Semua pemimpin parti politik perlu menghayati dan menjunjung titah Sultan Ibrahim itu sejajar hasrat untuk maju dan membentuk negara yang stabil daripada segi politik dan ekonomi.

“Kita mahu politik yang stabil, selain mahu pelaburan luar dan dalam meningkat kerana kita mahu mengutamakan pertumbuhan ekonomi. Kerajaan sekarang stabil dengan 148 Ahli Parlimen menyokong dan sokongan itu harus ditambah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.