
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dikatakan berada dalam radar pimpinan selepas beliau hadir ke perhimpunan pasca pemecatan Hamzah Zainudin, Sabtu lalu, yang melancarkan serangan terhadap Presiden Muhhyiddin Yassin.
Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata ketua Wanita Bersatu itu tidak lagi takut dipecat seperti pemimpin lain yang menyokong Hamzah antaranya bekas ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Saifuddin Abdullah.
“Beliau ingin menyampaikan isyarat sudah hilang keyakinan sepenuhnya terhadap Muhyiddin dan ingin melihat sama ada Bersatu berani atau tidak mengambil tindakan seperti kepada pemimpin lain.

“Keputusannya menunjukkannya tidak peduli sama ada akan akan dipecat atau tidak kerana beliau sendiri telah meletakkan jawatan (sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah),” kata ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia itu kepada FMT.
Semalam, Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah.
Turut berbuat demikian semua ahli jawatankuasa Bersatu Masjid Tanah, pimpinan semua sayap dan seluruh ketua cawangan, dengan alasan hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin.
Mengulas lanjut, Azeem Fazwan berkata pengumuman itu menunjukkan perpecahan dalam Bersatu semakin ketara, namun ia tidak semestinya akan melumpuhkan kumpulan penyokong Muhyiddin secara keseluruhan.
“Situasi ini sebenarnya turut membuka ruang kepada kem presiden untuk menyusun semula parti dengan barisan yang benar-benar menyokong kepimpinan sedia ada.
“Ia memberi peluang penstrukturan semula parti berdasarkan individu yang benar-benar menyokong presiden,” katanya.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya juga senada dengan berkata tindakan Mas Ermieyati dilihat sebagai mesej politik berterusan kepada Muhyiddin supaya berundur susulan kemelut dalaman yang berpanjangan hingga menjejaskan parti.
Katanya, langkah itu menunjukkan krisis dalaman Bersatu kini berada pada tahap serius sehingga menjejaskan keyakinan akar umbi.
“Pilihan yang ada, sama ada Muhyiddin meletak jawatan ataupun memanggil mesyuarat agung tergempar. Itulah yang mampu memastikan Bersatu terus berada dalam arena politik negara,” katanya yang tidak menolak kemungkinan Mas Ermieyati menyertai bekas Hamzah untuk membentuk platform politik baharu menjelang PRU16.