
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) berkata, perniagaan perlu menanggung kos lebih besar kerana majikan sudah membayar caruman KWSP tambahan sejak gaji minimum dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500.
“Ini memudaratkan perniagaan kerana ia bermakna kenaikan kos dalam menjalankan perniagaan untuk majikan.
“Ia memberi tamparan berganda kepada majikan kerana gaji minimum baharu sudah menyebabkan kenaikan dalam caruman KWSP bahagian majikan,” kata Pengarah Eksekutif MICCI, Shaun Cheah kepada FMT.
Beliau berkata, cadangan itu akan menambah beban syarikat, jika mereka tidak dapat melepaskan kos tambahan itu kepada pelanggan.
“Perniagaan yang boleh melepaskan kos tambahan kepada pengguna akan memberi tekanan kepada kadar inflasi dan kos sara hidup,” katanya sambil menambah cadangan itu turut akan menjejaskan daya saingan pengeksport.
Ahad lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan membincangkan cadangan menaikkan caruman KWSP bahagian majikan susulan permintaan pelbagai kesatuan sekerja untuk kenaikan itu bagi meningkatkan dana persaraan pekerja.
Majikan kini menyumbang 13% untuk pekerja berpendapatan RM5,000 dan ke bawah serta 12% untuk yang bergaji RM5,000 ke atas, manakala pekerja menyumbang 11%. Kadar caruman berkanun itu tertakluk kepada perubahan dibuat kerajaan.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia, Syed Hussain Syed Husman, berkata rancangan menaikkan caruman KWSP bahagian majikan tidak adil kerana ia perlu disumbang secara sama rata oleh majikan dan pekerja.
“Sebarang kenaikan dalam caruman KWSP perlu datang daripada majikan dan pekerja kerana sumbangan KWSP adalah tanggungjawab bersama.”
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13% kepada 20% bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah.
Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong pula dilaporkan berkata, cadangan itu akan memberi beban signifikan kepada PKS, khasnya dengan pelaksanaan bayaran lebih masa untuk pekerja berpendapatan sehingga RM4,000.
Beliau berkata, persatuannya membantah cadangan itu kerana banyak PKS masih dalam proses pulih daripada kesan pandemik Covid-19.
“Kesan negatif akan timbul jika PKS, yang mempunyai lebih 40% tenaga kerja dalam negara, tidak berprestasi baik dan berdepan kos tambahan. Akhirnya, ini akan terus menjejaskan ekonomi.”