Pesara rugi RM435,100 diperdaya pelaburan emas

Pesara rugi RM435,100 diperdaya pelaburan emas

Lelaki berusia 68 tahun dijanjikan pulangan cepat untuk menyertai pelaburan emas dan mata wang dolar Amerika Syarikat.

Polis berkata mangsa membuat 15 transaksi antara 16 Mac hingga 13 April ke dalam enam akaun dengan bank berbeza.
PETALING JAYA:
Seorang pesara berputih mata apabila kerugian hampir RM500,000 selepas diperdaya pelaburan emas tidak wujud di laman sosial.

Ketua Polis Mukah, Muhamad Rizal Alias, berkata mangsa berusia 68 tahun tertarik membuat pelaburan emas dan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) itu selepas diperkenalkan seorang lelaki dikenali Eric Yee di dalam kumpulan WhatsApp, 8 Feb lalu.

Katanya, mangsa turut dijanjikan pulangan cepat dan suspek menghantar dokumen kepada mangsa mengenai prosedur pelaburan untuk meyakinkannya.

“Mangsa kemudian membuat 15 transaksi berjumlah RM435,100 ke pautan http://user.igglobal antara 16 Mac hingga 13 April ke dalam enam akaun dengan bank berbeza.

“Pada 22 April lalu, mangsa dihubungi seorang wanita yang juga ahli kumpulan WhatsApp sama memberitahu keuntungan hasil pelaburannya tidak boleh dikeluarkan,” katanya menurut Berita Harian.

Jelasnya lagi, mangsa kemudiannya cuba memindahkan wang sebanyak RM2,225 daripada pautan ke akaunnya sendiri namun tidak berjaya.

“Selepas itu, mangsa menyedari dia ditipu dan terus membuat laporan polis,” katanya.

Sehubungan itu, Muhamad Rizal mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang ditawarkan di media sosial.

“Orang ramai harus sedar dan melabur pada platform yang sah yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Jangan mudah mempercayai pelaburan yang menawarkan keuntungan besar dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi memastikan kesahihan pelaburan yang ditawarkan, orang ramai boleh menyemak senarai syarikat dan laman web yang dibenarkan dan diluluskan di www.bnm.gov.my/BNM.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika mereka menjadi mangsa penipuan atau penipuan siber,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.