
Menurut AP, kedua-dua mereka didakwa cuba memperkayakan diri dan orang lain dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Mereka didakwa melakukan penipuan komersial, salah urus jenayah, dan pengubahan wang haram.
Pendakwa raya Switzerland berkata pertuduhan itu berdasarkan peristiwa yang berlaku antara 2009 dan 2015.
Pasangan itu tidak dinamakan atas sebab privasi, menurut pejabat peguam negara Switzerland.
Dalam tempoh enam tahun itu, kedua-dua mereka didakwa mengatur supaya akaun bank dibuka di Switzerland dan negara lain untuk menutup punca dan sumber dana yang diselewengkan. Ini juga bertujuan untuk menghalang sebarang rampasan dana, menurut pendakwa raya Switzerland.
Pendakwa raya berkata mereka menubuhkan usaha sama palsu yang kononnya antara kerajaan Saudi dan Malaysia yang membolehkan mereka memindahkan USD700 juta ke akaun bank syarikat Switzerland yang dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.
Pejabat peguam negara Switzerland berkata Low “memanipulasi” pertemuan 2009 antara perdana menteri ketika itu Najib Razak dan Putera Arab Saudi, Turki bin Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud di atas kapal layar berhampiran Cannes untuk “menggambarkan” usaha sama 1MDB-PetroSaudi sebagai transaksi antara kerajaan.
Low, yang dikatakan dalang di sebalik skandal 1MDB, kemudian didakwa memindahkan USD85 juta kepada dua pengurus terbabit.
Dua pengurus PetroSaudi itu juga didakwa meyakinkan lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan USD830 juta lagi sebagai sebahagian daripada pinjaman yang dikatakan itu, yang kemudiannya diselewengkan.
Mereka kemudiannya menggunakan dana berkenaan untuk membeli hartanah di Switzerland dan London, barangan kemas, pegangan ekuiti persendirian, dan untuk “membangunkan aktiviti yang menguntungkan” di PetroSaudi yang membiayai “gaya hidup mewah” mereka.
Aset bernilai kira-kira 192 juta Swiss franc, atau kira-kira USD215 juta, telah dirampas oleh pihak berkuasa Switzerland. Hartanah di Switzerland dan London turut dirampas.
Kes itu akan dibawa ke Mahkamah Jenayah Persekutuan di Bellinzona, Switzerland.
Terdapat tiga lagi kes jenayah berkaitan 1MDB yang belum selesai di Switzerland, termasuk satu yang melibatkan Bank BSI yang kini sudah ditutup berhubung prosedur dalaman yang cacat.
Dua lagi kes melibatkan seorang bekas pekerja PetroSaudi yang disyaki melakukan pengintipan industri, dua bekas pegawai 1MDB, dan dua pegawai awam di Emiriah Arab Bersatu atas dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan salah urus jenayah.