Peraturan baharu EU usaha terancang halang sektor sawit negara

Peraturan baharu EU usaha terancang halang sektor sawit negara

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kelulusan Peraturan EU Deforestation Regulation (EUDR) dibuat demi melindungi minyak bijian tempatan mereka yang kurang efisien.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata EU perlu mengiktiraf kelebihan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia yang merupakan pensijilan mampan mandatori, seiring keperluan EUDR. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) meluluskan Peraturan EU Deforestation Regulation (EUDR) merupakan usaha terancang meningkatkan kos dan halangan terhadap sektor sawit Malaysia, kata Fadillah Yusof.

Timbalan perdana menteri berkata, tindakan itu akhirnya akan meningkatkan tahap kemiskinan, mengurangkan pendapatan isi rumah dan mendatangkan kesan buruk terhadap masyarakat luar bandar, melibatkan 450,000 pekebun kecil.

“Peraturan EUDR adalah tidak adil dan berfungsi untuk melindungi pasaran minyak bijian tempatan yang kurang efisyen dan tidak mampu bersaing dengan eksport minyak sawit Malaysia yang lebih efisien dan produktif,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Fadillah yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, situasi tersebut bercanggah dengan komitmen EU terhadap “UN Sustainable Development Goals”.

Fadillah turut menyeru EU memberi pengecualian pelaksanaan peraturan EUDR terhadap pekebun kecil, sekiranya tidak dilakukan kumpulan itu akan terkeluar daripada rantaian bekalan pengimportan sawit dan produk sawit ke EU.

Selain itu, EU seharusnya tidak mengklasifikasikan Malaysia sebagai negara “risiko tinggi” kerana Malaysia sering kali memenuhi komitmen terhadap pemeliharaan hutan dan pertanian mampan, yang diiktiraf institusi terkemuka dunia seperti Pertubuhan Makanan Pertanian (FOA) PBB dan Bank Dunia.

Katanya, EU perlu mengiktiraf kelebihan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia yang merupakan pensijilan mampan mandatori, seiring dengan keperluan EUDR.

“Minyak sawit Malaysia adalah mampan dan merupakan minyak sayuran yang paling menyeluruh dipersijilkan di dunia.

“Piawaian MSPO memastikan komitmen negara terhadap kemampanan, dan telah membantu mengurangkan kadar penyahhutanan kepada sifar. Malaysia akan terus membekalkan minyak sawit mampan dan bebas penyahhutanan kepada pasaran global,” katanya.

EUDR diperkenalkan pada November 2021 untuk mengehadkan penebangan hutan berpunca penggunaan komoditi dan produk pertanian di seluruh dunia.

Peraturan itu menyenaraikan minyak sawit sebagai antara komoditi yang memacu pembasmian hutan menerusi perluasan tanah pertanian.

Pelaksanaan EUDR dijangka memberi kesan ketara terhadap penggunaan minyak sawit di EU. Pengkritik berkata, ia akan memberi imej negatif terhadap minyak sawit Malaysia, selain membawa kepada pengurangan eksport ke EU dan kemungkinan di seluruh dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.