
Menterinya Johari Abdul Ghani berkata hal ini kerana sebahagian besar input yang digunakan dalam aktiviti penanaman sawit diperoleh dari dalam negara.
“Tarif ini tidak ada kena-mengena dengan ladang kelapa sawit kita kerana kebanyakan input diperoleh secara domestik.
“Hanya sebahagian bahan kimia dan baja, termasuk baja nitrogen, phosphorus dan potassium (NPK) yang diimport, tetapi ini tidak melalui AS,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkenaan kesan peningkatan kos input pertanian akibat perjanjian Malaysia dan AS melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), Artikel 2.3.
Sementara itu, Johari berkata kementeriannya juga sedang merumuskan satu skim baharu bagi meningkatkan nilai kos pembiayaan (geran dan pinjaman) tanam semula sawit yang dibiaya kerajaan sebelum ini untuk dilaksanakan pada tahun depan.
“Pekebun kecil selalunya susah nak dapat pinjaman. Jadi saya cuba berjumpa dengan pihak bank untuk melihat kalau duit tidak datang daripada kerajaan, boleh tidak bank membantu pekebun-pekebun kecil ini dengan mencagar ladang-ladang mereka, kemudian bank akan bagi pinjaman dan saya akan cuba minta kepada kerajaan subsidi faedah.
“Kalau interest (faedah) itu tinggi, kerajaan cuba subsidi 4%,” katanya.
Johari berkata KPK masih dalam proses berunding dengan Kementerian Kewangan mengenai pemberian subsidi faedah itu.
“Kalau dapat nanti kita akan lancarkan skim yang baharu selain daripada yang kita buat hibrid,” katanya.
Sebelum ini kerajaan telahpun menyediakan peruntukan di bawah Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang merupakan bantuan secara hibrid iaitu 50% geran dan 50% pinjaman.
Sebanyak RM100 juta disediakan kepada KPK bagi 2024 dan RM50 juta bagi 2025.
Johari berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai langkah kerajaan untuk membantu pekebun kecil menanam semula sawit dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Johari berkata negara dijangka kehilangan hasil eksport hampir RM7 bilion sekiranya tidak melaksanakan penanaman semula sawit di ladang telah berusia lebih 25 tahun.
“Kadar penanaman semula sawit Malaysia pada 2024 adalah sekitar 2%, ia masih rendah berbanding kadar penanaman semula sawit yang disasarkan pada kadar ideal sebanyak 4% hingga 5% setahun,” katanya.