
“Mengapa MCA tidak minta bekas perdana menteri Najib (Razak) bercuti apabila terdapat pelbagai siasatan berhubung 1MDB di dalam dan di luar negara?” soal Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.
“Mengapa MCA bukan sahaja berdiam diri apabila dana negara dirompak oleh Najib, malah memberikannya sokongan tanpa syarat untuk memerintah negara (ketika itu)?”
Lim menjawab gesaan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Michael Chong semalam agar Sivakumar bercuti sementara menunggu hasil siasatan SPRM bagi mengelak menjejaskan imej kerajaan perpaduan.
Sivakumar, yang juga Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, menarik perhatian umum selepas SPRM menahan dua pegawai kanannya dan seorang ahli perniagaan minggu lalu berhubung siasatan ke atas pengambilan pekerja asing. Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada reman pada Isnin.
Sivakumar juga disoal siasat SPRM sebanyak dua kali sebagai sebahagian daripada siasatan, menurut sumber.
Apabila ditanya sama ada Sivakumar perlu bercuti, Lim mengulangi pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa Sivakumar tidak perlu berundur kerana kes itu masih disiasat dan tiada tuduhan dikenakan terhadapnya.
“Jadi, saya akan berpegang kepada itu (kenyataan Anwar),” katanya.
Seorang lagi Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer, berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap integriti Sivakumar dan merasakan menteri itu tidak perlu bercuti.
“Beliau seorang yang lurus, jujur dan tidak mengarut. Saya percaya beliau tidak bersalah,” kata Ahli Parlimen Jelutong itu.