
“Mahkamah ini mesti menghantar mesej tegas tidak membenarkan kesalahan seperti ini,” kata Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee.
Ng berhujah dalam rayuan terhadap hukuman dikenakan dua mahkamah berasingan bagi kesalahan dilakukan remaja itu ketika berusia 15 tahun.
Remaja terbabit dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, di mahkamah kanak-kanak, di Sepang, atas dua pendakwaan melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang saudara perempuannya dan seorang rakan perempuan.
Dia juga dituduh melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap rakan saudara perempuannya, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Pada September 2020, dia diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun oleh majistret selepas mengaku salah terhadap pertuduhan.
Dia juga mengaku salah di mahkamah kanak-kanak di Petaling Jaya bagi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) kerana melakukan serangan seksual terhadap seorang lagi rakan perempuan, dan pada Februari 2021, dia diarah ditahan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.
Hukuman terbabit dikekalkan Mahkamah Tinggi, pada November tahun sama.
Remaja itu menjalani hukuman selama tiga bulan sebelum Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan sementara menunggu rayuan terakhirnya.
“Kami perlu meneliti undang-undang berkait bagi menentukan hukuman bersesuaian,” kata Hakim Hadhariah Syed Ismail dalam pendengaran terakhir hari ini.
Hadhariah mempengerusikan panel tiga hakim yang turut melibatkan Hakim M Gunalan dan Lim Chong Fong.
Prosiding hari ini bermula dengan Hadhariah mengesahkan panel hakim bersidang telah membaca rekod rayuan dan mengambil maklum perayu yang cenderung menonton pornografi.
Ng memohon mahkamah menyabit salah remaja tersebut, yang kini sudah berusia 18 tahun, kepada hukuman penjara.
“Seksyen 98 Akta Kanak-Kanak tidak membenarkan pesalah seksual lazim diletakkan dalam pengawasan,” katanya.
Ng berkata, undang-undang juga membenarkan remaja itu yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diletakkan di Sekolah Henry Gurney, di Melaka, sehingga berusia 21 tahun.
Bagaimanapun, pesalah tidak boleh diletakkan di mana-mana sekolah diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan hanya membenarkan kanak-kanak berusia 18 tahun sahaja.
Ng berkata, remaja itu juga berulang kali menendang seorang rakan perempuannya walaupun mangsa merayu untuk tidak diapa-apakan.
“Sebaliknya, dia mengambil foto mangsanya dan mengancam untuk mendedahkannya,” katanya.
Peguam, Khairul Azam Abdul Aziz mewakili remaja tersebut, memohon mahkamah mengenakan hukuman bukan tahanan melibatkan bon berkelakuan baik atau khidmat masyarakat.
Katanya, anak guamnya sudah dihantar ke sekolah asrama kerajaan di mana dia melengkapkan peperiksaan SPM.
“Tiada aduan atau laporan terhadapnya mengulangi kesalahan seperti itu,” katanya.
Khairul berkata, tiada guna menghantar remaja itu ke sekolah pemulihan atau menghantar ke penjara kerana akan menjejaskan masa depannya.