Bekas pensyarah bunuh koperal dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

Bekas pensyarah bunuh koperal dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

Chai Kong Wee @ Chia Kong Wee mengaku bersalah membunuh Lans Koperal Valentino kira-kira 3.25 pagi di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya pada 2017.

shah alam court
Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap Chai Kong Wee @ Chia Kong Wee, 41, hari ini selepas mengaku bersalah membunuh seorang koperal polis.
PETALING JAYA:
Bekas pensyarah kolej dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, selepas mengaku bersalah membunuh seorang koperal polis pada 31 Ogos 2017.

Keputusan dibuat Hakim Adlin Abdul Majid terhadap tertuduh, Chai Kong Wee @ Chia Kong Wee, 41, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, dia dakwa membunuh Lans Koperal Valentino kira-kira 3.25 pagi di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya.

Berdasarkan fakta kes, Chai pergi ke balai polis dengan alasan membuat laporan rompakan sebelum menyerang Valentino dari belakang menggunakan tukul, mengambil pistol mangsa dan menembaknya hingga mati, kira-kira 3 pagi.

Dia kemudiannya ditahan pada 11 Mac 2022 dan membawa polis ke sebuah kereta yang menyimpan pistol berisi peluru didaftarkan atas nama Valentino.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Jaspal Singh.

Terdahulu, dalam mitigasinya, Jaspal berkata anak guamnya tidak mempunyai niat membunuh, berada di bawah tekanan emosi dan menghadapi kesukaran hidup serta mempunyai gangguan personaliti antisosial.

Beliau memohon hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh kesalahan dan sebatan pada jumlah difikirkan sesuai.

Bagaimanapun, Maizatul Munirah dalam hujahnya berkata, walaupun mempunyai gangguan personaliti, tertuduh mengetahui sifat dan akibat perbuatannya.

Beliau menyifatkan pembunuhan seorang anggota polis yang sedang bertugas sebagai jenayah kejam dan memohon hukuman mati.

Pada penghakiman bertulis bertarikh 22 Disember, Adlin menyatakan sebelum penangkapannya pada 11 Mac 2022, tertuduh melakukan beberapa jenayah serius dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun secara berturutan serta 12 sebatan bagi tiga pertuduhan berasingan.

Pada 6 Ogos lalu, dia mengaku salah atas pertuduhan melepaskan tembakan ke arah sebuah bank di Subang Jaya pada 3 September 2020 dan membunuh pengawal keselamatan berusia 24 tahun, Muhammad Aiman Hakim Md Zakri, ketika rompakan bank di Puchong pada 11 Mac 2022.

Pada 13 Oktober pula, dia sekali lagi mengaku bersalah atas pertuduhan melepaskan tembakan ke arah sebuah bank di sini pada 22 April 2020.

Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman berkenaan secara berturutan selepas kes pembunuhan Valentino.

Adlin berkata, tertuduh melakukan kesalahan serius selama beberapa tahun tanpa kawalan dan mungkin terus berbuat demikian jika tidak ditahan pada 2022.

Menurutnya, laporan psikologinya menunjukkan dia tidak mengalami psikosis, mania, kemurungan atau pengaruh dadah ketika kejadian pembunuhan Valentino.

“Fungsi kognitif tertuduh adalah normal. Oleh itu, tertuduh berada dalam keadaan mental yang waras, menyedari sifat dan akibat tindakannya serta mengetahui perbuatan itu salah dan menyalahi undang-undang.

“Namun, gangguan personalitinya tidak mewajarkan hukuman mati, walaupun perbuatannya membunuh mangsa dengan tembakan dan serangan menggunakan tukul adalah perbuatan kejam,” katanya sambil menambah hukuman perlu mencerminkan pembunah adalah jenayah serius dan bertindak sebagai pencegah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.