
Syarikat itu mendakwa sudah menghantar barangan kemas terbabit kepada isteri bekas perdana menteri Najib Razak.
Katanya, ia menghantarnya kepada Rosmah pada Februari 2018 tetapi bukan antara barang yang dirampas polis dalam serbuan dijalankan tiga bulan kemudian.
Peguam Venothani Rajagopal dari firma guaman David Gurupatham & Koay berkata plaintif memfailkan semula saman itu pada 29 Mac tahun ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Beliau berkata, writ saman masih belum diserahkan kepada Rosmah.
Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Rini Triany Ali.
“Mahkamah telah menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 12 Mei,” katanya kepada FMT.
Firma itu memfailkan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun 2018 tetapi menarik baliknya pada Oktober 2019, susulan rampasan kerajaan terhadap barangan berharga, termasuk barang kemas, jam tangan dan beg tangan, serta wang tunai dalam serbuan di beberapa hartanah, termasuk rumahnya di Jalan Duta.
Syarikat tukang emas itu mengambil bahagian dalam prosiding pelucuthakan sebagai penuntut pihak ketiga.
Dalam saman asalnya, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, ia telah menghantar 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara USD124,000 (RM519,183) dan USD925,000 (RM3.8 juta) kepada defendan, diserahkan sendiri melalui dua ejennya.
Syarikat itu berkata Rosmah mengakui penerimaan barang tersebut.
Ia mendakwa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas itu.
Bagaimanapun, dia mendakwa barang kemas itu sudah tiada dalam simpanannya kerana dirampas dan diletakkan bawah jagaan pihak berkuasa.