
Melalui satu surat dalaman yang diedarkan minggu ini, universiti itu menjelaskan bahawa pelajar yang membuat kenyataan berunsur fitnah mengenai pengurusan akan dikenakan tindakan tatatertib.
Universiti itu berkata, mereka juga berhak untuk mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Fitnah terhadap pelajar yang membuat kenyataan sedemikian.
Seorang bekas presiden majlis perwakilan pelajar mendakwa universiti itu cuba untuk menakutkan-nakutkan pelajar.
“Ini kali pertama universiti mengugut untuk menyaman pelajar atas kenyataan yang kononnya berunsur fitnah.
“Sebelum ini, pemimpin pelajar tidak mempunyai masalah untuk membuat kenyataan akhbar,” katanya.
Beliau berkata surat itu dikeluarkan kepada kakitangan dan pelajar selepas beberapa calon daripada sekumpulan pelajar mengadakan sidang media pada 12 April lalu mengutuk campur tangan universiti dalam pilihan raya.
Bekas pelajar itu mendakwa, pihak pengurusan juga ada menghantar pengawal keselamatan untuk menghalang calon daripada memasuki universiti atas “arahan daripada pihak atasan.”
Beliau berkata pihak pengurusan telah berjanji pada awal Februari untuk memperkasakan pelajar mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap pilihan raya kampus.
“Jawatankuasa pilihan raya kampus ditubuhkan bulan ini, namun pada Isnin lalu, pihak pengurusan membelakangkan jawatankuasa dan calon hilang kelayakan secara unilateral,” katanya.
Pada hari berikutnya, jawatankuasa mengumumkan penangguhan pemilihan kerana campur tangan universiti.
Bekas mahasiswa itu berkata, pelajar akan terus menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap universiti melalui media sosial walaupun amaran sudah diberikan.
Jawatankuasa kampus telah menulis surat kepada menteri pengajian tinggi Khaled Nordin berhubung perkara itu.
FMT telah menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan penjelasan.