
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, setakat ini tiga daripada 47 individu dan syarikat produksi yang dikenal pasti menerima dana itu tetapi tidak menerbitkan filem, telah memulangkan semula dana tersebut kepada Finas.
“Kami sokong tindakan Finas mengeluarkan saman. Kesemua 47 pihak itu telah menerima surat tuntutan dan hanya tiga daripada mereka telah menjelaskan tuntutan berkenaan. Tindakan itu (membayar semula) membuktikan mereka mengakui kesalahan tersebut.
“Bagi mereka yang tidak memberikan apa-apa jawapan dalam tempoh masa diberi, Finas akan meneruskan tindakan undang-undang dan bawa perkara itu ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sumbangan Baju Raya Sempena Program Cahaya Ramadan Bersama Telekom Malaysia (TM) di pusat beli belah Mydin Mall Kulai hari ini.
Turut hadir Pengarah Yayasan TM Ainol Shaharina Shahar dan Pengarah TM Johor Md Naziruddin Abd Moez.
Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai saman Finas terhadap 47 individu dan syarikat produksi setelah didapati gagal menerbitkan filem menggunakan dana keseluruhan berjumlah RM20 juta.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil memandangkan dana yang diterima adalah duit rakyat yang bertujuan membantu produksi tempatan mengembangkan industri perfileman negara.
Beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah meminta Finas mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berhubung pemberian geran agar dapat ditambah baik, sekali gus memastikan tidak lagi berlaku penyelewengan.
“Kerajaan tidak akan memansuhkan dana tersebut hanya kerana wujud penyalahgunaan, namun kami meminta mereka untuk melakukan penambahbaikan terhadap SOP pemberian dana itu,” katanya.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Prof Dr Md Nasir Ibrahim dilaporkan berkata, dana untuk menerbitkan filem sebanyak RM20 juta yang diberikan kepada 47 syarikat produksi didakwa diseleweng untuk kepentingan peribadi, termasuk melakukan pengubahsuaian rumah dan percutian mewah.