20 pegawai imigresen terlibat ‘counter setting’ dibuang kerja

20 pegawai imigresen terlibat ‘counter setting’ dibuang kerja

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata seramai 227 lagi sedang disiasat bagi kesalahan sama sebelum tindakan lanjut diambil.

zakaria shaaban
Zakaria Shaaban berkata tindakan buang kerja terhadap pegawai terlibat sindiket ‘counter setting’ adalah paling berat, membuktikan mereka tidak kompromi dengan sebarang salah laku. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 20 pegawai imigresen yang terbabit dalam kes salah laku rasuah di pintu masuk negara atau ‘counter setting’ telah dibuang kerja manakala 227 lagi sedang disiasat bagi kesalahan sama sebelum tindakan lanjut diambil.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata tindakan buang kerja dilakukan dalam tempoh sejak 2022 hingga Rabu lalu selepas disabitkan kesalahan oleh mahkamah selain dibuktikan melakukan salah laku menerusi siasatan dalaman pihaknya.

Beliau berkata jumlah pegawai yang dibuang kerja itu tidak termasuk pegawai imigresen pengurusan profesional yang melakukan kesalahan sama disebabkan kes mereka dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Dalam tempoh tahun lalu saja, kita menyelesaikan 254 kes tatatertib dan 199 kes lagi pada tahun ini sehingga Rabu lalu. Selain itu terdapat baki 74 kes tatatertib bagi pelbagai kesalahan lain yang sedang disiasat.

“Tindakan paling berat ialah buang kerja termasuk sindiket ‘counter setting’, membuktikan kita tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku dilakukan kakitangan imigresen,” katanya, menurut Berita Harian.

Bagaimanapun, beliau mengakui proses tindakan tatatertib pihaknya mengambil masa lama memandangkan siasatan lengkap perlu dibuat untuk mencari bukti.

“Adakalanya hingga bertahun. Sebab itu dalam tempoh siasatan, ada yang ditukar penugasan, ada yang diturunkan pangkat, ditahan gaji atau digantung tugas.

“Seramai 20 pegawai imigresen yang dibuang kerja dan 227 lagi yang masih dalam siasatan itu pula sebelum ini bertugas di kaunter pintu masuk negara, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang, Bukit Kayu Hitam dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor,” katanya.

Berikutan itu katanya, sejak tahun lalu, mereka mewajibkan kakitangan berjawatan kritikal termasuk bertugas di pintu masuk negara dan kaunter pekerja asing, mengisytiharkan harta.

“Kegagalan berbuat demikian juga akan dikenakan tindakan tatatertib. Bagi tahun pertama pelaksanaan peraturan ini, semua kakitangan terbabit mematuhi peraturan itu,” katanya.

Tambahnya lagi, imigresen menerima penempatan pegawai SPRM paling ramai dengan 10 kader bagi memperkukuh integriti serta pengawasan dalaman.

“Ia bagi memantapkan lagi pengawasan dalaman dan meningkatkan kecekapan pengesanan awal sebarang bentuk penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.