Pengerusi Maju Holdings akan didakwa lagi berkait projek RM314 juta

Pengerusi Maju Holdings akan didakwa lagi berkait projek RM314 juta

SPRM berkata Abu Sahid Mohamed akan didakwa atas tujuh pertuduhan bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan membabitkan jumlah RM145 juta.

Hari ini Abu Sahid Mohamed dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pecah amanah kira-kira RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram kira-kira RM139.2 juta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd Abu Sahid Mohamed dan bekas pengarah Mex II Sdn Bhd Yap Wee Leong akan didakwa lagi kerana disyaki menyalahgunakan dana membabitkan projek lebuh raya bernilai kira-kira RM314 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib, berkata kali ini Abu Sahid akan didakwa atas tujuh pertuduhan bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama 403 Kanun Keseksaan berjumlah RM145 juta.

Ahmad Akram Gharib.

Katanya, manakala Yap akan didakwa atas 18 pertuduhan di mana sembilan daripadanya bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berjumlah RM209 juta dan sembilan lagi bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berjumlah RM387 juta.

“Hari ini Abu Sahid dituduh atas empat pertuduhan pecah amanah kira-kira RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram kira-kira RM139.2 juta.

“Yap pula didakwa menggunakan 17 dokumen ‘progress claim’ palsu antara Jun 2017 hingga April 2018 di mana dokumen berkenaan melibatkan tuntutan kerja tanah, saliran, cerun dan pembinaan subgred bagi projek Lebuhraya Putrajaya ke KLIA (Mex II), dengan nilai antara RM9 juta hingga RM28 juta setiap satu menjadikan jumlah keseluruhan lebih RM314 juta.

“Untuk itu, sebutan semula kes bagi kedua-duanya ditetapkan pada 3 Nov,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pertuduhan baharu itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, Abu Sahid, 74, dan Yap, mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan berkenaan.

Isteri Abu Sahid, Noor Azrina Mohd Azmi, 48, juga dalam prosiding berasingan berdepan satu pertuduhan menerima RM67.1 juta daripada hasil aktiviti haram berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya – KLIA (Mex II).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.