
Hakim Alice Loke turut mengarahkan Yazid membayar faedah tahunan 5% ke atas jumlah ganti rugi yang ditetapkan, bermula dari tarikh penghakiman sehingga jumlah itu dilunaskan sepenuhnya kepada Teo.
Selain itu, Yazid juga diperintah membayar kos RM30,000 kepada Teo, yang juga naib pengerusi DAP.
Dalam satu forum pada Februari 2021, Yazid mendakwa Teo, yang ketika itu timbalan menteri pendidikan dari 2018 hingga 2020, mengarahkan pegawai kementerian supaya menukar kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 untuk mengagung-agungkan gerakan komunis.
Teo yang menafikan dakwaan itu berkata sepanjang tempoh sebagai timbalan menteri pendidikan, beliau tidak pernah terlibat dalam penyediaan draf mahupun percetakan buku teks, apatah lagi memberi arahan untuk mengubah kandungannya.
Kementerian Pendidikan (KPM) kemudian memaklumkan bahawa perubahan buku teks sejarah itu dimuktamadkan pada April 2018, ketika Barisan Nasional masih memerintah.
KPM berkata proses penerbitan buku teks itu melalui kawalan kualiti yang ketat, termasuk pemetaan kandungan, penulisan manuskrip serta kelulusan salinan contoh.
Loke memutuskan bahawa Teo berjaya membuktikan elemen fitnah, manakala Yazid, yang ketika itu timbalan pengerusi sebuah gabungan NGO, gagal membuktikan pembelaan beliau termasuk justifikasi, komen adil dan keistimewaan bersyarat.
Hakim turut memutuskan kenyataan Yazid dibuat dengan niat jahat.
“Saya menyambut baik keputusan ini kerana akhirnya keadilan ditegakkan dan nama saya dibersihkan daripada tuduhan tidak berasas ini,” kata Teo, yang juga timbalan menteri komunikasi, dalam satu hantaran di Facebook.
Teo diwakili peguam Syahredzan Johan, yang juga Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, dan Amanda Wong.