
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata pegawai dan anggota polis ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan dan siasatan masih diteruskan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Selangor.
“JIPS IPK Selangor diarahkan siasat dari aspek pematuhan SOP sama ada ia dilaksanakan atau sebaliknya ketika serbuan dijalankan,” katanya menurut Sinar Harian.
Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai dan beberapa anggota polis ditahan selepas seorang penghuni di banglo dijadikan inap desa di Kajang itu mendapati biliknya berselerak dan barangan peribadi hilang.
Shazeli dilaporkan berkata, penghuni itu hanya menyedari kehilangan barangan bernilai ratusan ribu ringgit setelah pulang ke inap desa itu dan membuat laporan polis keesokannya pada 29 Ogos.
Menurutnya, hasil semakan mendapati serbuan dijalankan kira-kira 2 pagi 28 Ogos lalu selepas polis menerima maklumat berhubung bunyi bising di banglo terbabit.
Banglo dilengkapi beberapa bilik itu dipercayai didiami pelbagai individu dan maklumat orang awam menyatakan terdapat bunyi bising dari lokasi terbabit sebelum pasukan polis menjalankan serbuan.
Pegawai dan beberapa anggota terbabit dalam serbuan itu kemudian ditahan untuk disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.