Tak minat sertai tentera kerana tiada jaminan kerja selepas tamat, kata mejar jeneral bersara

Tak minat sertai tentera kerana tiada jaminan kerja selepas tamat, kata mejar jeneral bersara

Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor berkata tiada jaminan kerja bagi pesara tentera daripada kumpulan lain-lain pangkat yang menamatkan perkhidmatan di usia antara 39 hingga 45 tahun.

Kerajaan disaran memasukkan pesara tentera dalam pasukan beruniform lain atau menawarkan pekerjaan menerusi anak syarikat LTAT.
PETALING JAYA:
Tiada jaminan kerja bagi anggota tentera selepas tamat berkhidmat dikatakan antara sebab kenapa rakyat terutama bukan Bumiputera tidak berminat untuk menyertai perkhidmatan itu.

Untuk menarik minat rakyat, kerajaan harus memastikan kehidupan anggota selepas berkhidmat terjamin dengan menawarkan “peluang kerjaya kedua”, kata Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor mengulas rancangan tentera mengambil lebih ramai anggota bukan Bumiputera.

“Apabila kamu berhenti, orang tak ambil kamu bekerja, nak berniaga pun tak tahu,” katanya, sambil menambah kebanyakan yang terkesan golongan yang tamat berkhidmat pada usia antara 39 hingga 45 tahun.

“Kerajaan perlu masukkan mereka dalam pasukan beruniform seperti bomba dan imigresen; tawarkan pekerjaan menerusi anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera.”

Khlir yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata tanpa jaminan kerja selepas berkhidmat, mereka daripada kumpulan lain-lain pangkat (LLP) iaitu prebet sehingga pegawai waran perlu berkhidmat sehingga mencapai tempoh bersara wajib, iaitu selama 21 tahun, demi kelangsungan hidup.

Beliau percaya golongan bukan Bumiputera akan menyertai angkatan tentera sekiranya kerajaan menyediakan peluang pekerjaan selepas selesai berkhidmat.

Ditanya mengenai kursus kemahiran yang ditawarkan kepada anggota sebelum tamat perkhidmatan, Khlir menjelaskan latihan itu sebenarnya “tidak ada apa”.

“Latihan itu tempohnya enam bulan atau setahun. Kamu nak belajar apa? Nak latihan buat apa lagi? Orang nak duit, nak kerja,” katanya.

Di samping peluang pekerjaan kedua, Khlir mencadangkan tempoh bersara wajib dilanjutkan daripada 21 tahun perkhidmatan kepada 25 tahun, bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang mahu terus berkhidmat.

Langkah itu akan membantu mereka “dapat pencen 60% daripada gaji,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan melaporkan kepada Dewan Negara bahawa orang India, Cina, dan Orang Asli lebih cenderung memilih sektor lain terutama sektor ekonomi dan perniagaan yang menjanjikan keuntungan dan peluang kerjaya yang lebih besar.

Setakat 6 Mac, orang Melayu menyumbang 85.8% anggota tentera, diikuti Bumiputera dari Sarawak dan Sabah masing-masing 7.6% dan 4.3%, India (1.4%), Cina (0.5%) dan Orang Asli (0.4%).

Menurutnya, penyertaan lebih rendah bukan Bumiputera boleh dikaitkan dengan perkhidmatan berisiko tinggi dan berbahaya, standard kesihatan yang ketat, gaji rendah, dan kekurangan pendedahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.