Kerajaan patut jumpa wakil PN lepas draf MoU ditolak, kata Ahli Parlimen Bersatu

Kerajaan patut jumpa wakil PN lepas draf MoU ditolak, kata Ahli Parlimen Bersatu

Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor berkata rundingan tidak sepatutnya ditutup seperti diumumkan semalam oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Khlir Mohd Nor
Khlir Mohd Nor berkata mendakwa ketiadaan peruntukan wakil rakyat itu mungkin menyukarkan mereka menghulurkan bantuan pada musim tengkujuh tidak lama lagi.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang berkata kerajaan sepatutnya bertemu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) selepas draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan wakil rakyat ditolak September lalu.

Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor berkata rundingan tidak sepatutnya ditutup seperti diumumkan semalam oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang mewakili kerajaan dalam perbincangan dengan pembangkang.

Menurut wakil rakyat Bersatu itu, tindakan menutup rundingan hanya memaparkan sifat tidak ‘ikhlas’ kerajaan dalam membantu rakyat di negeri pembangkang yang ‘turut sama membayar cukai’.

“Kalau kerajaan ikhlas, mengapa tidak dipanggil berbincang? Suruh bincang namun berdasarkan syarat MoU mana boleh macam itu?

“Tiada perjumpaan (selepas PN tolak draf) pun. Asyik mengata wakil kita,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan ketiadaan peruntukan itu mungkin menyukarkan mereka menghulurkan bantuan pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Semalam, Fadillah berkata pintu rundingan berhubung MoU berkait peruntukan pembangkang ‘sudah ditutup’ memandangkan keputusan PN menolaknya sebelum ini.

Pada 15 Sept lalu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata PN sebulat suara menolak draf MoU itu atas sebab empat sebab antaranya didakwa bertentangan Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Sehari selepas penolakan itu, Fadillah mendedahkan dua draf MoU sebagai maklum balas pihak pembangkang yang dikatakan lebih gemar membuat kenyataan melalui media, bagi membuktikan ketelusan kerajaan Madani.

Beliau turut mengalu-alukan pembangkang cadangan baharu atau maklum balas.

Bagaimanapun, bulan lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mendedahkan hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi maklum balas rasmi namun PN bersikap sebaliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.