‘Spin luar konteks’, YDP PAS jawab pengkritik berkait gambar leftenan jeneral Cina

‘Spin luar konteks’, YDP PAS jawab pengkritik berkait gambar leftenan jeneral Cina

Zaharudin Muhammad kata gambar Johnny Lim Eng Seng tiada kaitan penulisannya dalam hantaran yang mencetuskan kontroversi.

Zaharudin Muhammad
Zaharudin Muhammad akan membuat penjelasan di Facebook susulan kritikan terhadap hantaran kontroversi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yang Dipertua PAS Sungai Buloh menyifatkan kritikan terhadap hantaran kontroversinya yang memuat naik gambar leftenan jeneral Cina pertama sebagai ‘spin’ di luar konteks.

Zaharudin Muhammad berkata, beliau sudah menyatakan dalam hantaran itu bahawa gambar Johnny Lim Eng Seng tiada kaitan dengan penulisannya yang dilaporkan media sebagai satira.

Pemimpin akar umbi PAS itu juga memberitahu FMT beliau tiada motif untuk menghina pelantikan Lim.

“Itu adalah ‘spin’ di luar konteks. Dalam tulisan itu saya telah sebut gambar tiada kaitan dengan tulisan. Tiada motif penghinaan pelantikan leftenan jeneral Angkatan Tentera Malaysia. Itu perkara biasa.

“Nanti saya akan buat penjelasan dalam tulisan di Facebook saya selepas ini,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, media melaporkan Zaharudin memuat naik hantaran bersifat satira di Facebook mengenai pelantikan perdana menteri berketurunan Cina pada 2058.

Mengiringi hantaran tersebut gambar penganugerahan pangkat kepada Lim, dengan keterangan ia sekadar hiasan. Hantaran itu telah dipadam tanpa penjelasan lanjut.

Zaharudin menjadi sasaran kritikan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, yang mempersoalkan motifnya membuat hantaran sebegitu.

Naib pengerusi DAP itu berkata, penghormatan kepada Lim sepatutnya menjadi kebanggaan buat kita semua.

“Malangnya, ia dijadikan bahan polemik perpecahan seperti ini yang hanya akan memecahbelahkan masyarakat,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, seorang wakil rakyat Perikatan Nasional yang juga bekas tentera tampil mengingatkan semua pihak tidak mengheret tentera ke dalam politik dan sentimen perkauman.

Khlir Mohd Nor.

Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, berkata tiada apa perlu dipersoalkan berhubung leftenan jeneral berketurunan Cina yang pertama, kerana tentera adalah perkhidmatan tidak mengira latar belakang bangsa.

“Jika seseorang itu berkebolehan dan layak, apa salahnya dinaikkan pangkat? Ia tidak perlu dipersoalkan,” katanya.

“Jangan ada mana-mana pihak yang melatah dan cuba mencetuskan kritikan atau polemik, termasuk membuat kenyataan yang menjurus kepada isu politik atau perkauman. Jangan kaitkan tentera dengan politik dan sentimen perkauman.”

Bekas ketua perisikan tentera darat itu menjelaskan, penilaian berkaitan kenaikan pangkat dibuat secara teliti oleh Majlis Angkatan Tentera, yang dipengerusikan menteri pertahanan.

Menteri pertahanan ketika ini adalah Mohamed Khaled Nordin daripada Umno.

Sementara itu, Khlir berkata ahli politik sepatutnya memperjuangkan isu jauh lebih bermanfaat seperti kebajikan tentera khususnya pesara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.