Pesara tentera mengaku tak salah rogol anak 12 tahun hingga hamil

Pesara tentera mengaku tak salah rogol anak 12 tahun hingga hamil

Difahamkan, mangsa yang masih bersekolah hamil enam bulan.

mahkamah sesyen ipoh
Mahkamah Sesyen Ipoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dimohon pendakwaan.
PETALING JAYA:
Seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anaknya berusia 12 tahun hingga hamil.

Berita Harian melaporkan tertuduh berusia 45 tahun membuat pengakuan itu di depan Hakim Jean Sharmila Jesudason atas satu pertuduhan merogol dan dua pertuduhan amang seksual.

Tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun sembilan bulan yang mana hubungan tertuduh dan mangsa tidak dibenarkan bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Perbuatan itu dilakukan terhadap mangsa yang juga anak ketiga daripada enam beradik kira-kira 11.30 malam pertengahan Disember lalu di bilik utama sebuah rumah di taman perumahan Batu Gajah.

Bagi dua pertuduhan amang seksual, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu secara fizikal dengan cara bagi maksud seksual terhadap mangsa sama, yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak itu sebagai bapa kandung.

Kedua-dua perbuatan amang seksual fizikal itu juga dilakukan di lokasi sama sebagaimana pertuduhan merogol mangsa di sebuah taman perumahan di Batu Gajah.

Bagi pertuduhan merogol, ia dibaca mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan amang seksual dibaca mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut seksyen serta akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(a) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.

Pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh tinggal serumah dengan mangsa, namun memohon jaminan RM30,000 dikenakan jika mahkamah membenarkan ikat jamin.

Jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu serta mendekati mangsa dan saksi, selain perlu melapor diri di balai polis setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Farhan memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menerima pencen RM1,800 sebulan sebagai bekas tentera dan penanggung tunggal nafkah keluarga kerana isterinya tidak bekerja, selain perlu menyara enam anak masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan syarat tambahan dimohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 Ogos ini.

Difahamkan, mangsa yang masih bersekolah hamil enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.