Jual aset veteran bawah pasaran, pesara tentera disyaki terima habuan RM405,000

Jual aset veteran bawah pasaran, pesara tentera disyaki terima habuan RM405,000

Bekas ketua penerangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia ditahan SPRM susulan penjualan lima unit pangsapuri di Pulau Pinang.

S Karunanithy
Pengarah SPRM Pulau Pinang S Karunanithy, berkata suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, pada Rabu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pesara tentera diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana disyaki menerima suapan RM405,000 sebagai balasan menjual aset Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Pulau Pinang pada harga bawah pasaran.

Menurut sumber, suspek yang juga bekas ketua penerangan PVATM berusia 60-an itu ditahan kira-kira 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang dan siasatan mendapati kejadian itu berlaku sekitar 2015.

“Suspek disyaki telah meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM405,000 daripada penjualan aset PVATM, iaitu lima unit pangsapuri yang terletak sekitar Pulau Pinang.

“Suspek juga dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya dan sebanyak 12 transaksi telah dikesan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang S Karunanithy mengesahkan penahanan tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, pada Rabu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.