
Ia menyusul kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said pada Khamis lalu bahawa siasatan SPRM ke atas Hakim Nazlan Ghazali menyimpulkan beliau melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes rasuah SRC International Najib Razak.
“Peguam negara tidak mahu mendakwa. Ketua hakim negara pula dakwa SPRM tidak ikut protokol. Manakala SPRM mempertahankan prerogatif kuasa penyiasatan.
“Sewajarnya tidak ada kompromi bila berlaku ‘deadlock’ (jalan buntu) seperti itu. Ia merosakkan sistem keadilan negara. Ia tidak boleh dibiarkan. Sebab itu pembaharuan menyeluruh mesti dibuat,” katanya dalam kenyataan.
Media melaporkan Azalina mengesahkan Nazlan melanggar kod dan mempunyai konflik kepentingan dalam surat bertarikh 20 Mac kepada peguambela Najib, Shafee & Co.
Beliau berkata, ini berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Feb yang dipanjangkan agensi itu kepadanya.
Azalina menjawab surat daripada peguambela Najib bertarikh 15 Mac yang bertanya sama ada SPRM menulis kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan prosiding tatatertib dimulakan terhadap Nazlan berhubung pengendaliannya dalam kes SRC.
Pada 24 Feb lepas, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun menuduh SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Nazlan susulan dakwaan sejumlah wang tidak dapat dijelaskan dimasukkan ke akaun banknya.
Nazlan, kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib pada Julai 2020. Rayuan Najib kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman itu.
Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun sejurus selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.