
Ketua Polis Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz, berkata perkara itu disahkan pegawai perubatan selepas kanak-kanak tersebut dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita berhubung beberapa kesan gigitan di tangan anaknya semasa dihantar ke taska berkenaan pada 10.26 malam, 5 Jan lalu.
Sehubungan itu, katanya satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan semakan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati taska tersebut berdaftar dan mempunyai lesen sah.
“Pada mulanya kedua-dua pihak bersetuju untuk tuntutan ganti rugi terhadap kejadian, namun sehingga kini tiada penyelesaian dapat dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, tular hantaran artikel bergambar yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “EL Ameerah” berkaitan kecederaan dialami kanak-kanak perempuan berusia satu tahun semasa berada di sebuah taska.
Media turut melaporkan ibu kanak-kanak itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska tersebut yang didakwa mengabaikan anaknya yang ditinggalkan bersama beberapa kanak-kanak lain di sebuah bilik tanpa pengawasan.
Asmadi turut menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi dan menularkan artikel tersebut kerana ia boleh mendatangkan ketidakharmonian serta mengganggu siasatan polis.