
Ketua Polis Serdang AA Anbalagan berkata wanita berusia 24 tahun adalah kenalan ibu mangsa dan mula menjaga dua kanak-kanak itu sekitar Mac apabila ibu mereka bekerja di Singapura.
Menurutnya, siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada wakil sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa lalu yang mendakwa menerima aduan berhubung penderaan itu.
“Didapati ada kesan lebam dan kesan dirotan di seluruh badan kedua-dua mangsa yang kemudiannya dibawa ke Hospital Klang bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa telah dibenarkan keluar hospital dan siasatan terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Katanya, setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor juga dimaklumkan berkaitan kes tersebut dan difahamkan sedang memantau kes berkaitan.
Baru-baru ini tular video di TikTok memaparkan dua kanak-kanak didakwa menjadi mangsa dera di sebuah rumah dipercayai pengasuh mereka.