
Ketua Polis Temerloh, Mazlan Hassan, berkata suspek berusia 34 dan 41 tahun berasal dari Mentakab serta Bentong itu ditahan pada 6.30 petang.
“Suspek pertama penganggur dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan narkotik, manakala seorang lagi bekerja sendiri memiliki lima rekod jenayah lampau.
“Mereka didapati negatif dadah selepas ujian saringan awal dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Mazlan berkata, antara barangan dirampas ialah lima guni berisi kabel tembaga dipotong, satu gulung kabel tembaga, seunit pemotong kabel, beg, lampu kepala, sarung tangan dan pelbagai peralatan elektrik, termasuk grinder serta bateri.
Semalam, China Communications Construction Sdn Bhd (CCCECRL) memaklumkan kabel sepanjang 1,080m di jajaran Temerloh dan Lanchang serta 599m di jajaran Lanchang dan Bentong dicuri dalam tempoh hanya dua minggu.
Ia memaklumkan kejadian itu menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur rel dan berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek nasional berkenaan.