3 penjawat awam antara 5 ditahan berkait tuntutan palsu bekalan lembu

3 penjawat awam antara 5 ditahan berkait tuntutan palsu bekalan lembu

Lima suspek disyaki bersubahat kemuka butir matan palsu bagi mendapat tuntutan bayaran bekalan lembu betina kira-kira RM200,000 daripada sebuah badan berkanun.

handcuff
Seorang wanita dan empat lelaki berusia 30 hingga 60-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di SPRM Segamat antara 11 pagi hingga 2 petang semalam. (Gambar Freepik)
JOHOR BAHRU:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan lima individu, termasuk tiga penjawat awam disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapat bayaran berkaitan tuntutan bekalan lembu betina kira-kira RM200,000 daripada sebuah badan berkanun.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia 30 hingga 60-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di SPRM Segamat antara 11 pagi hingga 2 petang semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, semua suspek disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran bekalan lembu betina kepada sebuah badan berkanun di sebuah daerah di negeri ini, berjumlah kira-kira RM200,000 meskipun pembekalan itu tidak dilakukan.

“Semua suspek terdiri daripada seorang pemilik dan pengurus syarikat dipercayai melakukan perbuatan itu pada Februari 2023.”

Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Sekyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, tiga daripada lima suspek itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat hari ini bagi permohonan reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.