
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata serbuan kira-kira 10.30 malam pada 2 Sept hingga 4 pagi 3 Sept dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Tinggi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor.
“Dalam serbuan tersebut, pasukan serbuan telah menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia, berusia antara 34 hingga 43 tahun.
“Hasil serbuan, JSJN Johor telah merampas dadah disyaki syabu seberat 80,330g atau dianggarkan 80kg, yang dibungkus dalam 76 bungkusan minuman teh Cina. Nilai anggaran rampasan dadah adalah RM2,570,560,” katanya dalam sidang media di IPK Johor.
Rahaman berkata, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan kawasan rumah teres berpagar dan berpengawal sebagai stor transit sebelum dadah diedarkan ke pasaran luar negara terutama di Riau dan Pulau Batam, Indonesia.
Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak April 2024 dan jumlah syabu yang dirampas boleh digunakan oleh kira-kira 401,650 penagih jika terlepas ke pasaran.
Katanya, polis turut menyita empat kereta bernilai RM341,000, dua motosikal bernilai RM40,000, wang tunai RM4,000, mata wang rupiah Indonesia berjumlah Rp14 juta (bersamaan kira-kira RM3,607) serta barang kemas bernilai RM21,497.93.
Beliau berkata, secara keseluruhan, nilai rampasan dadah dan harta berkaitan adalah hampir RM3 juta dan ketiga-tiga suspek kini direman hingga esok untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika dipenjarakan seumur hidup, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak melebihi 15 kali.
Wanita warga Indonesia itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk pengesahan ketulenan dokumen perjalanan.
Rahaman berkata, hasil saringan urin mendapati dua suspek positif dadah jenis metamfetamina dengan semakan rekod menunjukkan lelaki tempatan terbabit mempunyai sembilan rekod jenayah lampau manakala wanita tempatan memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Selain itu, beliau berkata setakat 1 Jan hingga 3 Sept tahun ini, JSJN Johor menahan 17,242 individu atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan dianggarkan seberat 1.47 tan dadah selain dadah dalam bentuk cecair sebanyak 6,921.45 liter bernilai anggaran RM125.88 juta.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi hotline JSJN 012 2087222.