2 sindiket tumpas, polis rampas 164kg dadah

2 sindiket tumpas, polis rampas 164kg dadah

Rampasan itu melibatkan tiga serbuan berasingan dalam tempoh dua hari lalu.

Shazeli Kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata dadah dirampas adalah ekstasi, erimin 5, dan syabu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua sindiket dadah di Lembah Klang tumpas susulan rampasan pelbagai dadah seberat 164kg bernilai RM16.7 juta, dalam tiga serbuan berasingan.

Serbuan dilakukan pada Selasa dan semalam itu turut menyaksikan lima lelaki diberkas.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata semua suspek berusia antara 18 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan di Banting, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), dan sekitar Kuala Lumpur pada petang dan awal pagi.

Beliau berkata, untuk kes pertama, dua lelaki tempatan ditahan dalam sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat sekitar Banting pada 3.45 petang Selasa, ketika suspek sedang menghala ke Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan 30 bungkusan berisi dadah jenis ekstasi seberat 61,760g dan tiga bungkusan berisi dadah jenis erimin 5 seberat 9,850g di tempat duduk belakang kereta tersebut.

“Suspek pertama berumur 47 bekerja dengan syarikat kontraktor binaan, seorang duda serta mempunyai 18 rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua merupakan penganggur berumur 42 tahun dan turut mempunyai 22 rekod lampau dengan kedua-dua rekod mereka adalah berkaitan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya menurut Bernama.

Shazeli berkata, nilai rampasan bagi kes itu sebanyak RM13.6 juta selain pihaknya turut menyita seutas rantai leher dan jam tangan bernilai RM15,500.

Bagi kes kedua, Shazeli berkata polis menahan seorang remaja lelaki berumur 18 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ ketika menunggu penerbangan ke Sarawak pada 5.10 pagi, Selasa lepas.

Upah hantar dadah RM1,000

Beliau berkata remaja terbabit dipercayai telah beberapa kali melakukan penyeludupan dadah sebelum ini dengan upah RM1,000 bagi setiap penghantaran.

“Suspek ditahan di terminal berkenaan ketika menunggu penerbangan ke Sarawak dan pemeriksaan lanjut menemukan lima bungkusan plastik berisi syabu seberat 4.5kg dalam bagasi dibawa suspek.

“Tangkapan itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah kondominium di sekitar Kuala Lumpur pada 1.10 tengah hari keesokannya dengan dua lelaki tempatan turut ditahan,” katanya.

Shazeli berkata, pemeriksaan di premis yang dijadikan stor simpanan dadah menemukan 89 bungkusan plastik berisi syabu seberat 86,795g serta satu tong putih mengandungi cecair syabu seberat 5,850g.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu berperanan sebagai pembekal syabu kepada remaja yang ditahan di KLIA2 untuk dipasarkan ke Miri, Sarawak dan bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran.

Katanya, suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala dua yang lain tidak mempunyai sebarang rekod selain saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah.

Nilai keseluruhan rampasan dadah bagi kes itu dianggarkan RM3.7 juta, katanya.

Shazeli berkata kelima-lima suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.