Mahkamah benar permohonan Guan Eng dapatkan perbualan WhatsApp 2 saksi

Mahkamah benar permohonan Guan Eng dapatkan perbualan WhatsApp 2 saksi

Fakta penuh tentang siapa yang menerima bayaran RM2 juta perlu dikemukakan ke mahkamah, kata Hakim Azura Alwi.

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen memerintahkan pihak pendakwaan mengemukakan mesej perbualan WhatsApp antara dua saksi pendakwaan utama dalam kes rasuah terowong dasar laut Lim Guan Eng yang sedang berlangsung.

Hakim Azura Alwi berkata permohonan Lim memenuhi semua keperluan undang-undang.

“Mahkamah mendapati terdapat dua ‘versi’ tentang siapa penerima bayaran RM2 juta itu.

“Fakta penuh perlu dikemukakan supaya kebenaran dapat diketahui,” katanya.

Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli mendapatkan 10% keuntungan daripada projek jalan raya dan terowong berkenaan.

Bekas menteri kewangan itu juga didakwa meminta suapan RM3.3 juta untuk melantik syarikat Zarul menjalankan projek berkenaan.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan menyeleweng RM208.7 juta nilai tanah negeri yang diberikan kepada dua syarikat secara tidak jujur.

Lim meminta pihak pendakwaan mengemukakan laporan forensik mengenai perbualan WhatsApp antara Zarul dan seorang lagi saksi utama, G Gnanaraja, atas alasan kandungan itu penting untuk pembelaannya dalam kes berkenaan.

Peguamnya sebelum ini berhujah perbualan antara dua ahli perniagaan itu akan menunjukkan beliau tidak menerima RM2 juta seperti didakwa.

Laporan itu dikemukakan sebagai bukti dalam kes jenayah berasingan di Mahkamah Sesyen Shah Alam di mana Gnanaraja didakwa menipu Zarul sebanyak RM19 juta.

Gnanaraja dijangka dipanggil sebagai saksi dalam kes rasuah Lim nanti.

Selepas keputusan itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan akan menyediakan laporan itu kepada pembelaan selewat-lewatnya 17 April.

Azura menetapkan pengurusan kes pada 10 Mei sementara menunggu penyerahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.