Pemimpin Umno kalah pemilihan bawa lari ‘harta’ parti, dedah Zahid

Pemimpin Umno kalah pemilihan bawa lari ‘harta’ parti, dedah Zahid

Presiden Umno itu tidak mahu mendedahkan identiti mereka, namun bersedia berbuat demikian pada majlis bersesuaian.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, berkata ada ‘pemegang amanah’ lama merasakan segala harta benda parti menjadi miliknya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada bekas pemimpin bahagian melarikan “harta” dari pejabat parti selepas tumpas pada pemilihan lalu.

Zahid bagaimanapun tidak mendedahkan identiti bekas pemimpin bahagian terlibat, sambil menjelaskan perkara itu dimaklumkam ketua bahagian baharu.

Katanya, beliau akan akan mendedahkan lebih lanjut perkara itu di majlis bersesuaian.

“Saya tahu pemberita tahu bahawa saya sangat telus dalam perkara ini. Tetapi, biarlah cukup saya beritahu terdapat perubahan apabila sesuatu jawatan dipegang tentunya pemegang jawatan lama yang menjadi pemegang amanah kepada pejabat lama, merasakan segala harta benda yang ada di pejabat itu milik dirinya.

“Maka, apabila yang pemimpin baharu datang mengambil alih jawatan, yang ada hanyalah pejabat kosong. Saya tidak mahu bercerita lebih panjang lagi, tetapi biarlah saya bercerita nanti di majlis bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di PPR Seri Semarak.

Hadir sama pemimpin sayap Umno, Ketua Wanita Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Akmal Saleh dan Ketua Puteri Nurul Amal Mohd Fauzi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.