Ketua menteri Melaka baharu angkat sumpah esok, kata SUK

Ketua menteri Melaka baharu angkat sumpah esok, kata SUK

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Zaidi Johari memaklumkan Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam menerima surat peletakan jawatan Sulaiman Md Ali.

Adun Lendu Sulaiman Md Ali meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Ketua Menteri Melaka yang baharu akan mengangkat sumpah jawatan esok, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Zaidi Johari.

Dalam kenyataan, beliau memaklumkan Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam telah menerima surat peletakan jawatan Adun Lendu Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri Melaka.

Menurut Zaidi, sehubungan itu, berdasarkan Perenggan (a) Fasal 2, Perkara 7 Perlembagaan Negeri Melaka, Yang Dipertua Negeri Melaka hendaklah melantik seorang Adun sebagai ketua menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

“Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka ke-13 adalah dijadualkan berlangsung pada 31 Mac 2023, Jumaat bersamaan 9 Ramadan 1444H di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 3 petang,” menurut kenyataan itu.

Spekulasi pertukaran ketua menteri Melaka mula dilaporkan media sejak semalam susulan tular di aplikasi WhatsApp maklumat mengenai istiadat mengangkat sumpah jawatan ketua menteri yang baharu bakal berlangsung Jumaat ini.

Antara nama yang disebut-sebut menggantikan Sulaiman sebagai ketua menteri Melaka yang baharu ialah Adun Tanjung Bidara merangkap Ketua Umno Negeri Ab Rauf Yusoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.