
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata tempoh tiga hingga enam bulan akan datang amat penting untuk kerajaan mengurangkan kesan konflik, selain membina daya tahan ekonomi.
“Saya lebih suka ‘tidak’ kerana tiga hingga enam bulan akan datang amat penting dalam usaha kita mengurangkan kesan konflik di Asia Barat selain membina daya tahan ekonomi.
“Untuk itu, kita perlukan kestabilan politik,” katanya dalam temu bual program The Breakfast Grille terbitan BFM.
Beliau mengulas sama ada PRU wajar diadakan lebih awal susulan perkembangan politik semasa, termasuk pertikaian berhubung kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor.
Semalam, Pengerusi PH Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU16 lebih awal jika rakan kerjasama dalam kerajaan perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik.
Beliau merujuk situasi di Johor apabila BN negeri mengumumkan hasrat bertanding 56 kerusi pada PRN yang mengundang reaksi pemimpin PH yang mempersoalkannya, ketika kedua-duanya bekerjasama di peringkat persekutuan.
Bagaimanapun, Khairy berkata PRN Johor dan Melaka tidak dapat dielakkan kerana tempoh penggal DUN di dua negeri itu hampir tamat.
Katanya, PRN berkenaan boleh menjadi ‘barometer’ penting kepada BN sebelum menentukan hala tuju gabungan itu pada PRU16.
Khairy berkata keputusan di Johor dan Melaka akan memberi gambaran mengenai kekuatan sebenar BN, termasuk sama ada wajar bergerak solo atau membentuk persefahaman politik dengan blok lain.
“Johor dan Melaka akan memberi gambaran mengenai apa yang akan berlaku pada PRU,” katanya.