
Bekas Ahli Parlimen Damansara itu berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan Rafizi dan bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, namun menegaskan kedua-duanya berhak memilih haluan politik sendiri.
Bagaimanapun, katanya, Ahli Parlimen lain yang berhasrat bertanding pada pilihan raya umum akan datang atas tiket parti lain, walaupun sebelum ini dipilih sebagai wakil rakyat PKR, sepatutnya mengosongkan kerusi mereka sekarang.
“Golongan lain yang berani menyatakan hasrat untuk bertanding menentang parti sendiri pada PRU16, tetapi enggan keluar parti atau mengosongkan kerusi, hanyalah pengecut yang mementingkan diri sendiri dan tidak sanggup kehilangan baki elaun Ahli Parlimen mereka.
“Mereka patut ditolak oleh pengundi, tidak kira parti mana akhirnya yang mereka wakili pada pilihan raya akan datang. Malah, pengundi mereka wajar segera mendesak mereka meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pua ialah pengerusi jawatankuasa disiplin DAP.
Semalam, bekas menteri Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan bahawa mereka akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia bagi membentuk hala tuju politik baharu untuk diri mereka dan penyokong mereka.
Mereka turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Lima Ahli Parlimen PKR — Rodziah Ismail (Ampang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), S Kesavan (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju) — dilihat hadir dalam sesi bergambar bersama kedua-dua pemimpin itu.