
Naib Pengerusi MCA Melaka Ngwe Hee Sem berkata, parti itu turut bertanding di tujuh kerusi pada PRN lepas dan mahu mengekalkan jumlah itu.
Perkara itu bagaimanapun belum dibincangkan, katanya, dan menunggu keputusan kepimpinan tertinggi gabungan negeri.
“Kekal angka itu atau tidak, kita tunggu keputusan Pengerusi BN (Melaka) Ab Rauf Yusoh. Perkara ini belum dibincangkan lagi,” katanya di Japerun Machap Jaya hari ini, lapor Sinar Harian.
“Kalau ikut MCA, kita memang mahu bertanding tujuh kerusi jika BN bertanding solo, tapi jika PH-BN bekerjasama dalam PRN, kita serahkan penentuan jumlah kerusi itu kepada Ab Rauf.”
Penggal DUN Melaka ke-15 akan berakhir pada Disember ini, sekali gus membuka laluan kepada PRN.
Pada PRN 2014, MCA meletakkan calon di tujuh kerusi DUN Melaka, iaitu Klebang, Kesidang, Machap Jaya, Bemban, Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Bagaimanapun, parti komponen BN itu hanya menang di Klebang dan Machap Jaya.