Kerajaan tak cadang kawal harga minyak sawit

Kerajaan tak cadang kawal harga minyak sawit

Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata, bekalan rendah dan permintaan eksport tinggi akan menyumbang kepada kenaikan harga minyak sawit di pasaran.

Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata, bekalan dan permintaan antara faktor asas yang sentiasa mempengaruhi pergerakan harga minyak sawit.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak bercadang mengawal selia harga sawit Malaysia sebagai produk kawalan buat masa ini berikutan harga sawit di pasaran dipengaruhi faktor asas dan sentimen pasaran yang sentiasa berubah berdasarkan permintaan.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata, antara faktor asas yang sentiasa mempengaruhi pergerakan harga minyak sawit mentah (MSM) adalah bekalan minyak sawit dan permintaan terhadap minyak sawit itu sendiri.

“Bekalan minyak sawit yang rendah dan permintaan eksport tinggi akan menyumbang kepada peningkatan harga minyak sawit di pasaran,” katanya dalam jawapan bertulis bagi Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Ia menjawab soalan Senator Bobbey Suan berhubung langkah jangka panjang bagi mengawal selia harga sawit Malaysia sebagai produk kawalan kerajaan.

KPK berkata, peningkatan harga minyak kacang soya dan minyak mentah Brent juga akan menyumbang kepada peningkatan harga MSM kerana harga dua produk itu bergerak seiringan di pasaran.

Menurutnya, KPK sentiasa berusaha memastikan harga MSM kekal stabil pada masa depan dengan mengambil langkah strategik seperti melancarkan kontrak niaga hadapan MSM khusus untuk Malaysia Timur melalui kerjasama dengan Bursa Malaysia yang dikenali Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Malaysia Timur.

Langkah strategik lain, katanya, termasuk meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit dan produk berasaskan sawit melalui pengukuhan pasaran sedia ada seperti Pakistan, Turki, negara Asean dan penerokaan pasaran baharu seperti benua Afrika, negara Timur Tengah dan benua Amerika.

Turut dilaksanakan adalah memperkukuhkan kerjasama strategik bersama Indonesia menerusi Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bagi memantapkan lagi amalan persekitaran mampan, pengurusan bekalan, aktiviti promosi dan pembangunan pekebun kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.