RM1.4 bilion bantu pekebun kecil tanam semula sawit

RM1.4 bilion bantu pekebun kecil tanam semula sawit

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata ia penting untuk kekalkan kedudukan sebagai pengeluar produk sawit kedua terbesar dunia.

johari abdul ghani
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani, berkata bantuan itu akan dibelanja berperingkat dalam tempoh lima tahun.
JOHOR BAHRU:
Kerajaan dijangka membelanjakan RM1.4 bilion secara berfasa dalam tempoh lima tahun bagi memperkasakan program penanaman semula sawit melibatkan pekebun kecil di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani, berkata peruntukan itu merupakan sebahagian inisiatif memastikan kelestarian industri sawit negara, khususnya dalam usaha menggantikan pokok sawit tua dan kurang produktif.

“Sesi perbahasan di Parlimen bagi RMK13 akan bermula Isnin. Melaluinya, kita akan mendapat banyak maklum balas daripada Ahli Parlimen. Bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi saya nampak ada satu usaha diambil kerajaan untuk meningkatkan penanaman semula kepada pekebun kecil.

“Dengan penanaman semula, kita boleh mengekalkan kedudukan negara sebagai pengeluar produk sawit kedua terbesar dunia dan meningkatkan eksport kita yang bernilai RM115 bilion pada masa ini. Jika banyak pekebun kecil ini tanam semula, ia akan dapat meningkatkan lagi eksport produk sawit kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Umno Johor Bahru.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 pada Khamis, berkata sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara, kerajaan akan terus melonjakkan pembangunan subsektor agrikomoditi meliputi sawit, getah, dan koko.

Anwar berkata, tumpuan akan diberikan kepada peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi moden termasuk mekanisasi, automasi dan robotik, RDCI (penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, dan inovasi), dan pensijilan kemampanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.