
KPK berkata Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (Meepa) juga akan peroleh pengiktirafan antarabangsa bagi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai piawaian kemampanan nasional Malaysia, dan mengukuhkan komitmen pada ketelusan lebih tinggi, kebolehkesanan dan rantaian bekalan bebas penebangan hutan.
EFTA diasaskan pada 1960 dan menggalakkan perdagangan bebas dan integrasi ekonomi dalam kalangan empat negara anggota iaitu Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein.
“Bagi industri minyak sawit Malaysia, perjanjian ini menyediakan platform yang lebih kukuh untuk bersaing dalam pasaran dipacu kemampanan global sambil memperkukuh akses pasaran dan kelebihan tarif untuk bekalan yang diperakui MSPO,” kata KPK dalam kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada Meepa, kedua-dua Malaysia dan EFTA turut menerima pakai kenyataan bersama mengenai minyak sawit mampan, yang meningkatkan pengiktirafan antarabangsa ke atas kepimpinan Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit mampan dan mengukuhkan kepercayaan pada bekalan yang diperakui MSPO.
Pensijilan MSPO prasyarat untuk mengakses tarif yang dikurangkan, meletakkan MSPO sebagai pemboleh utama akses pasaran yang lebih baik untuk pengeksport minyak sawit Malaysia ke negara-negara EFTA, kata KPK.
Skim MSPO menggredkan ladang kelapa sawit, kebun kecil dan kemudahan pemprosesan untuk memastikan tiada kehilangan biodiversiti, konflik tanah, penebangan hutan dan buruh paksa.
Ia diwajibkan untuk semua operasi kelapa sawit di Malaysia, termasuk perladangan, kebun kecil bebas dan terancang, dan kemudahan pemprosesan, mulai 1 Jan 2020.
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata Meepa akan menjadi rujukan penting dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU yang sedang berlangsung dengan 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Beliau berkata KPK bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk memastikan usaha Malaysia menerajui kemampanan, melalui MSPO, dipamer dan dilindungi sepenuhnya dalam semua perjanjian perdagangan masa hadapan, termasuk dengan EU.
“Malaysia komited sepenuhnya untuk memacu kemajuan global dalam perdagangan minyak sawit yang mampan, bertanggungjawab dan bebas penebangan hutan, dengan MSPO di tengah-tengah usaha ini,” katanya.
Minggu lalu, Johari berkata kerajaan sedang meneroka pasaran minyak sawit baharu untuk mengurangkan pergantungan negara pada pasaran eksport utama berikutan kebimbangan geopolitik.